Enam penagih dadah tidak serik ditahan

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan dilakukan anggota polis daripada IPD Jempol pada malam Khamis dan awal pagi Jumaat. Gambar kecil: Hoo Chang Hook
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan dilakukan anggota polis daripada IPD Jempol pada malam Khamis dan awal pagi Jumaat. Gambar kecil: Hoo Chang Hook
A
A
A

JEMPOL - Tidak serik ditahan beberapa kali sebelum ini, enam lelaki sekali lagi mengulangi perbuatan menagih dadah sebelum ditangkap dalam tiga serbuan berasingan pada tengah malam Khamis hingga awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, empat lelaki berusia 40 hingga 51 tahun itu ditahan ketika serbuan di belakang sebuah rumah di Felda Pasoh 2 dekat sini pada jam 12.30 tengah malam.

Beliau berkata, penahanan kesemua mereka dilakukan berdasarkan maklumat dan risikan sebelum sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Jempol menyerbu lokasi terlibat.

"Ketika serbuan, kesemua lelaki yang didapati sedang khayal menghisap dadah cuba melarikan diri, namun gagal.

"Polis menemui tiga peket plastik dan satu tiub penyedut minuman berisi dadah jenis heroin seberat 6.60 gram dan tiga peket plastik dadah jenis syabu seberat 1.30 gram," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati masing-masing terlibat dengan penagihan dadah sejak lima hingga 15 tahun lalu, manakala seorang suspek turut dikehendaki oleh Balai Polis Melang, Kuala Pilah.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun di tandas awam Stesen Bas Batu Kikir di sini pada jam 9.05 pagi.

"Polis menemui tujuh peket plastik dadah jenis heroin seberat 9.45 gram di dalam beg kecil milik suspek.

Artikel Berkaitan:

"Kira-kira 30 minit selepas itu, polis menahan seorang lagi suspek berusia 43 tahun di tepi tandas awam Stesen Bas Batu Kikir dan menemui empat peket plastik dadah jenis heroin seberat 6.89 gram di dalam beg sandang milik suspek.

"Kesemua direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (2) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," kata beliau.