Berakhirnya era seorang lagenda

Nicol David
A
A

PENGUMUMAN kesediaan ratu skuasy negara Datuk Nicol David bersara dalam arena sukan adalah berakhirnya satu era legenda bagi seorang atlet terkemuka dunia.

Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menyifatkan Nicol yang pernah bergelar pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun merupakan satu pencapaian luar biasa dan sukar dicapai oleh mana-mana atlet.

Chong Wei berkata Nicol merupakan 'superstar' yang dikenali di seluruh dunia dan atlet berusia 35 tahun itu adalah contoh terbaik, yang mana kejayaannya kerap menjuarai kejohanan dunia telah memberikan inspirasi kepada semua atlet di dalam dan luar negara.

"Kami satu ‘batch’. Mengenali Nicol, beliau adalah seorang atlet yang mempunyai cita-cita tinggi dan tidak mudah berputus asa.

"Semua orang tahu pencapaian beliau sembilan tahun bergelar pemain nombor satu dunia adalah pencapaian luar biasa dan sukar dicapai oleh mana-mana atlet. Kita perlu hormati keputusannya. Mana-mana atlet sampai masanya dia akan bersara.

"Saya berharap beliau terus menabur bakti berkongsi pengalaman dengan membantu pemain-pemain muda negara. Sekiranya beliau mahu fokus kepada bidang perniagaan, saya ucapkan selamat maju jaya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Chong Wei berkata negara akan kehilangan seorang bintang yang mempunyai pakej lengkap dalam sukan dan keperibadiannya yang profesional sentiasa disanjung tinggi.

Setelah lebih dua dekad beraksi di gelanggang kaca, Nicol mengambil keputusan untuk bersara selepas musim jelajah Persatuan Skuasy Professional (PSA) berakhir pada Jun ini dan beliau sudah lama memikirkan perkara itu.- Bernama