Rakyat Malaysia perlu buang perasaan kebal daripada Covid-19

Rakyat Malaysia perlu membuang tanggapan bahawa mereka kebal daripada terkena jangkitan Covid-19.
Rakyat Malaysia perlu membuang tanggapan bahawa mereka kebal daripada terkena jangkitan Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu membuang tanggapan bahawa mereka kebal daripada terkena jangkitan Covid-19.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, corak pemikiran seperti itu perlu diubah dalam usaha mengekang penularan Covid-19 daripada semakin meningkat.

“Rakyat kena buang sindrom kebal ini. Perkara ini dah ada dalam diri rakyat iaitu anggapan mereka tidak akan kena (dijangkiti) Covid-19. Ini yang bahaya.

“Semua bermula daripada pemikiran seperti ini dan ia perlu diperbetulkan. Apabila fikiran mereka positif, kesedaran akan terbentuk. Emosi dan tingkah laku akan lebih berhati-hati,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Fauziah berkata, masyarakat perlu sentiasa berfikiran positif bagi mengelakkan daripada berlakunya tekanan dalam diri.

Katanya, ego, panik dan bacaan negatif di media sosial akan menjadikan seseorang terlibat dengan tekanan yang mungkin boleh menyebabkan kes tidak diingini berlaku.

“Sekarang memang terdapat kerisauan terhadap peningkatan jumlah penghidap Covid-19. Namun begitu, kita kena renung kembali punca sebenar adalah daripada kita sendiri yang menyebabkan angka kes meningkat.

“Rakyat perlu berfikiran positif. Jangkitan Covid-19 dah berlaku. Kita kena positif dan fikir cara nak atasi isu ini. Tenang dan atur strategi untuk kurangkan angka positif,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Fauziah, kumpulan sokongan yang terdiri daripada masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan penting antaranya menyebarkan peringatan bagi memastikan rakyat saling mengingati di antara satu sama lain terhadap pandemik tersebut.

“Masyarakat sekeliling perlu beri sokongan. Bagi fakta (mengenai Covid-19) yang tidak menakutkan. Rakyat perlu elak tabur fitnah atau menakutkan orang lain,” katanya.