Kes rogol, bunuh pelajar paling tragis

Abd Rahim mengimbau ketika beliau mengendalikan kes rogol dan bunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga di Bandar Baru Uda, Johor, kira-kira 15 tahun lalu.
Abd Rahim mengimbau ketika beliau mengendalikan kes rogol dan bunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga di Bandar Baru Uda, Johor, kira-kira 15 tahun lalu.
A
A
A

KIRA-KIRA 15 tahun lalu, negara digemparkan dengan kes rogol dan bunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga di Bandar Baru Uda, Johor.

Mayat mangsa telah ditemui di dalam longkang selepas dua hari ibu bapanya membuat laporan mengenai kehilangannya.

Bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar mengimbau ketika beliau mengendalikan kes itu semasa memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor.

Abd Rahim
Abd Rahim

Abd Rahim berkata, kes itu menyebabkan beliau tidak boleh tidur malam kerana gelisah mencari jalan dan petunjuk untuk menyelesaikan kes yang disifatkan sebagai cukup rumit itu.

“Pelbagai cabaran dan tekanan terpaksa dihadapi sepanjang siasatan dijalankan.

“Kes itu mendapat liputan meluas oleh media, jadi orang ramai mula mendesak supaya suspek ditangkap dengan segera dan ini cukup memberi tekanan kepada pasukan penyiasat saya,” katanya kepada Sinar Harian di Bukit Aman baru-baru ini.

Abd Rahim berkata, beliau sendiri turun menyiasat di lokasi kejadian kerana kediamannya berhampiran kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Saya sendiri pergi ke rumah mangsa dan berjalan kaki ke lokasi kejadian untuk merungkai kes berkenaan,” katanya.

Menurutnya, penemuan mayat itu langsung tidak diketahui oleh sesiapa. Satu-satu saksi yang ada adalah seorang pelajar sekolah yang secara tidak sengaja terjumpa mayat itu.

“Mayat itu ditemui di dalam longkang sedalam 2.1 meter pada jam 3.30 petang, 27 Januari 2006,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai teori telah dibuat bagi mengesan suspek kes berkenaan.

“Kita melakukan pelbagai cara untuk mengesan suspek termasuklah bertemu dengan penduduk yang mungkin mempunyai maklumat bagi membantu siasatan,” kata beliau lagi.

Abd Rahim berkata, petunjuk terakhir polis adalah mengesan suspek yang mempunyai rekod jenayah serta mendiami kawasan itu.

“Akhirnya, kita berjaya mengesan suspek utama kes berkenaan, hasil daripada soal siasat seorang remaja berusia 17 tahun.

“Suspek utama berusia 21 tahun itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau,” kata beliau.

Tertuduh (kanan) dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor pada tahun 2009.
Tertuduh (kanan) dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor pada tahun 2009.

Abd Rahim memaklumkan siasatan mendapati mangsa berusia 15 tahun itu sedang berjalan kaki menuju ke tempat di mana dia telah berjanji untuk bertemu dengan rakan sekolahnya.

“Mereka merancang menghadiri majlis persaraan pengetua sekolahnya namun dalam perjalanan mangsa telah dihampiri oleh suspek yang merayau-rayau di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, suspek utama ditangkap pada 16 Februari dan didakwa di mahkamah pada 27 Februari 2006.

“Pada Ogos 2009, suspek utama itu telah dijatuhi hukuman mati atas kesalahan merogol dan membunuh remaja perempuan itu oleh Mahkamah Tinggi Johor,” katanya.

Tumpaskan Geng M-16

Abd Rahim memulakan kariernya dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Kadet Asisten Superintendan (ASP) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 2 Februari 1986.

Setelah tamat latihan asas Kadet ASP, Abd Rahim telah ditugaskan sebagai ASP Kongsi Gelap, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan seterusnya sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan.

Abd Rahim dianugerah beret dan lencana Sniper Kehormat Unit Tindak Khas pada 7 April lalu.
Abd Rahim dianugerah beret dan lencana Sniper Kehormat Unit Tindak Khas pada 7 April lalu.

Beliau kemudiannya telah menjawat beberapa lagi jawatan antaranya Komandan Pulapol Zon Selatan Muar, Johor, Timbalan Ketua JSJ IPK Terengganu, Timbalan Ketua JSJ IPK Kedah, Ketua Penolong Pengarah D3, JSJ Bukit Aman dan Timbalan Ketua JSJ IPK Selangor.

Abd Rahim berkata, beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia kepolisan terutamanya dalam bidang siasatan jenayah.

“Kredibiliti dan kompetensi dalam perkhidmatan semakin menyerlah apabila diberi tanggungjawab sebagai Ketua JSJ Johor,” katanya.

Menurutnya, pelbagai kejayaan telah dikecapi semasa bertugas di Johor termasuk menumpaskan Geng M-16.

“Kita berjaya merampas senjata api, pistol dan jumlah emas yang banyak,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 kepada Abd Rahim pada 12 Mac 2020.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 kepada Abd Rahim pada 12 Mac 2020.

Abd Rahim berkata, kumpulan itu bergiat aktif pada tahun 2000 dan ahli-ahli kumpulan ini hanya terdiri daripada mereka yang sudah meningkat usia (old timer) iaitu kira-kira 40-an.

“Mereka telah melakukan beberapa siri samun kedai emas, namun kita berjaya menumpaskan kegiatan kumpulan bersenjata api itu,” katanya.

Terima surat berisi peluru

Abd Rahim berkata, prinsip beliau ketika memikul tanggungjawab tidak kira seorang anggota atau pegawai perlu berani menjalankan tugas dengan berlandaskan undang-undang.

“Kita tidak perlu takut menjalankan tugas kerana undang-undang melindungi kita,” katanya.

Bakat kepimpinan Abd Rahim terus digilap apabila bertugas sebagai Komander Pasukan Gerakan Am, Briged Tenggara.

Beliau kemudian dilantik menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.

“Saya pernah menerima ancaman dan ugutan surat berisi peluru hidup setelah polis isytihar perang dengan kumpulan gengster di Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, anggota dan pegawai polis tidak perlu takut terhadap ancaman sebegitu.

“Sebenarnya gengster yang perlu takut dengan kita. Selagi kita bertugas jangan takut, kita perlu berani dan tegas dalam usaha melindungi orang awam,” tegasnya.

Gambar kenangan Abd Rahim (tengah) ketika menjadi Chef De Mission Kontinjen PDRM pada 7 Ogos 2019.
Gambar kenangan Abd Rahim (tengah) ketika menjadi Chef De Mission Kontinjen PDRM pada 7 Ogos 2019.

Kecemerlangan beliau semakin terserlah apabila dinaikkan pangkat kepada Deputi Komisioner Polis sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor.

Perkhidmatan beliau sekali lagi diperlukan di Bukit Aman apabila menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah JIPS (Integriti).

Seterusnya kelayakan dan kewibawaan, kecemerlangan dan kepimpinan yang ditonjolkan, beliau telah dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis sebagai Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

Bertepatan dengan ketokohan yang ada, seterusnya beliau telah diamanahkan sebagai Ketua Polis Negeri Kedah.

Selain itu, Abd Rahim turut dikenali sebagai seorang yang aktif dalam bidang sukan antaranya sukan berbasikal dan juga golf.

Abd Rahim (duduk) meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Temerloh dan Tanjung Lumpur Kuantan, Pahang pada 10 Mei lalu.
Abd Rahim (duduk) meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Temerloh dan Tanjung Lumpur Kuantan, Pahang pada 10 Mei lalu.

Beliau sering kali mewakili pasukan golf PDRM di peringkat tertinggi seperti kejohanan World Police and Fire Games.

Sepanjang mewakili PDRM di kejohanan tersebut, beliau telah memenangi dua pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

Pada 29 Januari 2019, Abd Rahim telah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan dan pada 9 September 2020 beliau mengambil alih jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).

Jawatan Pengarah JKDNKA Bukit Aman kemudian dipangku oleh Datuk Azri Ahmad susulan persaraan wajib Abd Rahim pada Rabu lalu.

Lawatan Abd Rahim (tengah) bersama beberapa pegawai kanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi bagi memantau keadaan bencana banjir pada 6 Januari lalu.
Lawatan Abd Rahim (tengah) bersama beberapa pegawai kanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi bagi memantau keadaan bencana banjir pada 6 Januari lalu.