Harimau Malaya fokus bentuk keserasian

Luqman Hakim melengkapkan senarai 25 pemain bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE. - Foto Football Association of Malaysia
Luqman Hakim melengkapkan senarai 25 pemain bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE. - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya kini dalam proses membina keserasian selepas kehadiran Luqman Hakim Shamsudin pada Jumaat melengkapkan senarai 25 pemain bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau kini boleh mula fokus untuk membentuk persefahaman pemain menerusi sesi latihan dan dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain.

"Kami barisan kejurulatihan memang rasa gembira dan nampak latihan fasa pertama pagi tadi (Jumaat) pemain dalam keadaan ceria dan tenang. Liridon (Krasniqi), Dominic (Tan), Junior (Eldstal) juga sudah memulakan sesi latihan dan kita nampak mereka dapat mengikuti corak latihan di luar dan di padang.

"Dari segi tahap kecergasan, Liridon baru sahaja selesai liga di Australia dan sudah tentu dia berada pada tahap kecergasan terbaik. Seperti Dominic dan Junior, liga di Thailand sudah habis dan mereka berdua juga telah melakukan latihan. Luqman juga mendapat latihan yang bagus di Belgium.

"Namun, memang latihan dan perlawanan terutama di peringkat antarabangsa ini sangat berbeza. Sebab itu, kita sedang melihat dari setiap aspek tahap kecergasan, mental dan keserasian pemain dalam dua perlawanan persahabatan akan datang," katanya dalam sidang media secara maya pada Jumaat.

Skuad Harimau Malaya kini boleh menjalani latihan penuh membabitkan kesemua 25 pemain di UAE dengan ketibaan empat pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Liridon, Dominic, Junior dan Luqman Hakim.

Namun, halangan terbesar yang dihadapi Cheng Hoe sudah tentu kekangan masa untuk menyiapkan barisan terbaik terutama dalam membentuk keserasian antara pemain dengan perlawanan menentang UAE akan berlangsung kurang daripada dua minggu.

Ia selepas kesemua pemain berehat panjang daripada tugasan antarabangsa kerana pandemik Covid-19 selain muka baharu seperti Liridon, Junior dan Guilherme de Paula baru pertama kali menyertai pasukan kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga tidak menolak bahawa kesebelasan pemain yang dibawa kali ini adalah antara yang terbaik dengan gabungan menarik di setiap jentera Harimau Malaya.

"Kalau lihat atas kertas, kita dapat kumpulkan semua pemain terbaik di semua posisi. Namun, untuk bermain sebagai satu pasukan dan satu unit, keserasian itu sangat penting. Sebab itu, dua perlawanan persahabatan ini sangat penting.

"Pemain-pemain juga tahu cabaran kali ini berbeza kerana kita berada jauh dari negara sendiri, namun mereka kena kuatkan diri masing-masing dari segi mental dan fizikal," ujarnya.