Maritim selamatkan bot pelancong nyaris karam

Bot dalam perjalanan ke Pulau Langkawi ini nyaris karam akibat kebocoran sebelum diselamatkan Maritim.
A
A

ROMPIN - Sebuah bot pelancong bersama jurumudi dan tiga krew diselamatkan anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) selepas mengalami kebocoran kira-kira 20 batu nautika dari Tanjung Gemok di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Maritim Pahang (Operasi), Kapten Maritim V Pannir Selvan berkata, bot berpendaftaran NAIEELA itu difahamkan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Pulau Langkawi, petang Isnin lalu.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, bot yang dikemudikan jurumudi Azmi Adnan, 42, bersama tiga krew, Mohamad Suhaimi Sabri, 22, Jamaludin Supaat, 63, serta Nazri Mohd Ghauth, 63 mengalami kebocoran pada bahagian enjin.

“Kira- kira jam 3 pagi semalam, salah seorang daripada krew bot menghubungi talian MERS 999 untuk mendapatkan bantuan.

“Ketika itu bot masih boleh bergerak namun terpaksa bergerak perlahan dengan kelajuan kira-kira 2 knot,” katanya.

Pannir Selvan berkata, selepas menerima laporan, aset Maritim yang sedang beroperasi diarahkan ke lokasi untuk memberi bantuan.

"Anggota membantu mengeluarkan air menggunakan pam mudah alih seterusnya mengiringi bot tersebut ke Jeti Tanjung Gemok.

“Kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan bot selamat tiba di perairan Tanjung Gemok pada jam 2 petang namun kami terpaksa menunggu air pasang untuk memasuki Jeti Tanjung Gemok dan berjaya tiba sejam kemudian,” katanya.

Menurutnya, semua aset maritim sentiasa bersedia sepanjang masa untuk memberi bantuan sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.

“Orang ramai boleh menghubungi terus Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang yang beroperasi 24 jam di talian 09-5717345 atau melalui talian MERS 999,” katanya.