Liridon teruja perkuat Harimau Malaya

Liridon sudah bersedia menggalas cabaran Harimau Malaya.
Liridon sudah bersedia menggalas cabaran Harimau Malaya.
A
A
A

PERTAMA kali dapat menyarung jersi Harimau Malaya bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 nyata menerbitkan keterujaan buat pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi.

Malah, Liridon sudah menanam tekad untuk mencuri tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya menjelang baki tiga aksi Kumpulan G Pusingan Kedua kempen kelayakan tersebut.

“Saya berbangga untuk menyertai pasukan kebangsaan dan sangat gembira untuk bertemu semula rakan-rakan selepas beberapa bulan. Latihan pertama bersama pasukan sangat bagus dan saya sangat kenal dengan semua pemain dan staf pasukan.

“Misi saya adalah akan berikan yang terbaik untuk pasukan. Terima kasih juga kepada semua pihak yang memberikan sokongan sehingga saya boleh menyertai pasukan kebangsaan,” katanya dalam sidang media secara maya pada Jumaat.

Namun, bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang kini dipinjamkan ke kelab Newcastle Jets tidak merasakan tempatnya dalam kesebelasan utama Harimau Malaya sudah terjamin walaupun Tan Cheng Hoe merupakan bekas jurulatihnya ketika bersama Kedah.

“Saya rasa masih belum selamat kerana apa yang paling penting saya lihat pasukan ini sangat kompetitif. Saya tidak mahu ada pemikiran bahawa tempat saya terjamin dalam kesebelasan utama.

“Semua pemain boleh jadi pilihan utama. Tiada yang boleh rasa tempat mereka terjamin dan saya gembira kerana posisi saya itu ada persaingan kompetitif. Apa yang penting kami perlu bermain dengan baik apabila diberikan peluang.

“Saya rasa jurulatih tahu kemampuan saya dan sebab itu beliau panggil saya. Namun terpulang kepadanya dan saya sedia untuk merealisasikan apa yang dimahukan jurulatih,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Karier Liridon dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula di Kedah apabila dia mewakili pasukan dari utara tanah air itu selama tiga tahun mulai 2015 hingga 2018 sehingga menyaksikannya antara pemain tengah import terbaik pada ketika itu.

Namun, kariernya mulai suram dengan beberapa isu yang membelenggu dirinya sehingga dia mengambil keputusan menyertai Melaka United FC pada 2019 sebelum disambar JDT tahun lalu.

“Di Kedah, saya melalui musim yang baik dan anda boleh lihat pencapaian Kedah pada ketika itu. Saya tidak tahu isu kenapa ada pihak yang mempertikai saya untuk bermain bersama Harimau Malaya.

“Bagi saya, saya sudah kembali mendapat sentuhan selepas dipinjamkan ke Newcastle Jet yang mana saya dapat banyak pengalaman dan belajar banyak perkara di sana. Saya sedang berada pada tahap terbaik dan saya sangat positif,” jelasnya.