X

Kindly register in order to view this article
!

Bung Moktar mohon kelulusan labur RM150 juta

Datuk Seri Bung Moktar Radin
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen pada Jumaat diberitahu bahawa Datuk Seri Bung Moktar Radin telah mengemukakan surat permohonan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad bagi membuat pelaburan berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual sedangkan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra hanya bersetuju untuk melabur sebanyak RM50 juta.

Bekas Ketua Timbalan Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Mohmad Isa Hussain, 61, berkata, semasa mesyuarat ALP pada 24 November 2014 yang turut dihadirinya, Bung Moktar dan beberapa ALP lain, mereka bersetuju untuk membuat pelaburan sebanyak RM50 juta dalam unit amanah itu.

Mohmad Isa berkata, beliau menerima surat permohonan pelaburan RM150 juta pada 3 Mac 2015 yang ditandatangani Bung Moktar sendiri (yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra) untuk diserah kepada Menteri Kewangan II ketika itu Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk kelulusan.

“Permohonan tersebut telah mendapat kelulusan Ahmad Husni, bermaksud pihak Felcra boleh meneruskan cadangan pelaburan unit amanah yang dimohon kerana bagi jumlah pelaburan melebihi RM30 juta, perlu merujuk kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk keputusan muktamad.

“Berhubung jumlah pelaburan berjumlah RM150 juta yang dinyatakan (dalam surat), saya ketika itu beranggapan jumlah tersebut sama ketika pembentangan yang dibuat semasa mesyuarat ALP pada 24 November 2014 dan tidak tahu sekiranya jumlah tersebut telah diubah atau tidak sama dengan jumlah yang diluluskan semasa mesyuarat ALP itu,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Bung Moktar dan isterinya, pelakon Zizie Ezette Abdul Samad.

Mohmad Isa berkata, pada pengetahuannya, jika berlaku perubahan dalam amaun yang hendak dilaburkan dalam unit amanah di Public Mutual, perkara itu perlu dirujuk kepada mesyuarat ALP terlebih dahulu.

Bagaimanapun, semasa pemakluman laporan prestasi pelaburan unit amanah itu pada mesyuarat ALP Ogos 2015, beliau difahamkan prestasi pelaburan tersebut tidak menggalakkan dan maklumat yang diberikan adalah mencurigakan.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit kemudiannya telah membangkitkan perkara ini (isu pelaburan RM150 juta) dalam mesyuarat Jawatankuasa Audit Felcra Berhad kali ke-54 bertarikh 15 September 2015 dan minta dilaksanakan satu siasatan khas berhubung perkara ini.

“Setelah dibentangkan hasil siasatan khas berkenaan, barulah saya dapat tahu jumlah pelaburan yang dibuat tidak sama sepertimana keputusan asal iaitu daripada RM50 juta kepada RM150 juta," katanya.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 61, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie Ezette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Ezette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 23 Jun ini. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!