Giliran Sarawak, Negeri Sembilan tinggalkan PSM

Kenyataan media Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS) pada Jumaat.
Kenyataan media Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS) pada Jumaat.
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) terus menerima tamparan hebat apabila dua lagi ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) mengambil tindakan menarik diri daripada badan induk tersebut.

Presiden PSS, Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki berkata, kepimpinan PSM tidak mengambil peduli pandangan Ahli Majlis Tertinggi PSS bagi menjawab tuduhan daripada Persatuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), sehinggakan imej semakin buruk dalam kalangan ahli gabungan.

“Persatuan hilang kepercayaan terhadap PSM yang gagal menangani isu dengan ASTAF, sehingga mendapat hukuman penggantungan dan denda. Perkembangan mutakhir ini amat mendukacitakan dan menampakkan kegagalan sebagai persatuan induk,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Pestans memberi sokongan kepada penubuhan badan induk dengan kepimpinan baharu demi kelancaran pembangunan sepak takraw negara.

“PSM memerlukan kepimpinan baharu bagi menamatkan pelbagai kontroversi yang melanda badan induk sukan itu,” kata Presiden Pestans, Wan Mohd Husni Wan Abdullah.

ASTAF pada Khamis menyingkirkan PSM daripada gabungan badan induk itu selepas didapati bersalah berikutan tindakan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari lalu.

Tindakan tersebut dilihat melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008, namun PSM diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman dikenakan itu.

Keputusan PSS dan Pestans tersebut menjadikan kedua-dua persatuan tersebut ahli gabungan kelapan dan sembilan yang keluar daripada PSM selepas Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap) dan Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar).

Artikel Berkaitan: