Najib keluarkan dua cek RM9.5 juta untuk Shafee

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan yang didakwa atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN. - Foto Bernama
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan yang didakwa atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Jumaat diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendepositkan dua cek bernilai RM9.5 juta ke dalam akaun bank peribadi milik peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 2013 dan 2014.

Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, 42, berkata, kedua-dua cek itu dikeluarkan oleh Najib pada 5 September 2013 dan 17 Februari 2014.

"Berdasarkan penyata akaun Najib, saya mengesahkan terdapat transaksi pengeluaran RM4.3 juta dari akaun Ambank yang bernombor akhir 906 melalui cek kepada Muhammad Shafee.

"Saya mengesahkan bahawa sebelum transaksi pengeluaran berjumlah RM4.3 juta, baki di dalam akaun ini (Najib) adalah berjumlah RM73,400,019.90 manakala baki selepas transaksi pengeluaran sebanyak RM4.3 juta adalah berjumlah RM69,100,019.90," kata saksi pendakwaan pertama itu.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes Muhammad Shafee yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN).

Dirujuk kepada cek lain berjumlah RM5.2 juta oleh Timbalan Pendakwa Raya S.Nithtia, saksi itu mengesahkan cek tersebut dibayar kepada Muhammad Shafee dan turut mengesahkan bahawa tandatangan di cek berkenaan adalah tandatangan Najib.

"Bagaimanapun, saya tidak mengetahui tujuan kedua-dua cek dikeluarkan oleh Najib kepada Muhammad Shafee," katanya.

Saksi pendakwaan kedua iaitu Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku, Rosnita Ahmad, 41, pula mengesahkan bahawa terdapat transaksi kemasukan wang sebanyak RM4.3 juta ke dalam akaun milik Muhammad Shafee.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga mengesahkan RM5.2 juta telah dimasukkan ke dalam akaun milik tertuduh pada 17 Feb 2014. Baki sebelum transaksi adalah RM33,173.87 dan baki selepas transaksi kemasukan adalah berjumlah RM5,233,173.87," katanya.

Sebelum perbicaraan bermula, Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee memohon agar anak guamnya duduk di tempat peguam dan bukan di dalam kandang tertuduh.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan itu kerana ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan. Muhammad Shafee kemudian duduk di sebelah anaknya Muhammad Farhan, yang juga peguam dalam kes tersebut.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Perbicaraan bersambung pada 28 Mei ini. - Bernama