'Negara normalisasi terhadap Israel perlu kembali ke pangkal jalan'

ABDUL HADI
ABDUL HADI
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyeru negara-negara yang melakukan normalisasi terhadap Israel kembali ke pangkal jalan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, seruan itu secara khusus ditujukan kepada Arab Saudi yang bergelar khadam dua Tanah Haram supaya membebaskan imam masjid-masjid di Makkah termasuk ulama, ilmuwan dan pemimpin masyarakat yang berani bercakap kerana benar.

“Khususnya juga beberapa orang pemimpin Hamas yang datang berlindung di sana yang turut ditahan termasuk seorang individu sedang tenat menghidap kanser berusia 80 tahun dijaga oleh anaknya telah ditahan.

“Apa yang telah dilakukan oleh pemerintah Arab Saudi itu merupakan satu tindakan zalim yang telah mencalarkan wajah negara yang bergelar khadam dua Tanah Haram,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden Pas yang disiarkan menerusi Facebooknya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah menambah, alasan Israel berani menyerang kerana adanya jaminan keselamatan negara itu daripada segala bantuan dari aspek bekalan senjata sehinggalah usaha diplomatik dengan memujuk negara-negara Arab dan Islam.

“Khususnya hari ini sudah ada negara Arab yang melaksanakan normalisasi terhadap Israel secara talam dua muka.

“Pada satu ketika mereka bersama Palestin sedangkan pada waktu yang lain pula bersekongkol dengan negara yang dianggap tuan besar iaitu Israel,” katanya.

Menurutnya, perkara itu masih berlaku walaupun negara-negara Arab itu dikatakan telah mengecapi kemerdekaan yang diulang-ulang sambutannya sudah berpuluh kali sebagai hari kebangsaan negara masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa sama, negara-negara Arab itu berwiridkan perkataan pengganas mengikut riwayat negara Zionis.

“Jangan mudah lupa sejarah bahawa Israel sudah mengganas sejak negara haram itu ditubuhkan lagi sehingga ke hari ini dan juga berterusan pada masa akan datang.

“Mereka tetap mengerahkan anggota tentera, polis dan rakyat serta pendatang yang menjadi tentera tambahan,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, tindakan pejuang Palestin menyerang Israel secara menyeluruh adalah sah dan adil serta tidak sama dengan serangan dilakukan ke atas Gaza dan kawasan penduduk Palestin.

“Semua pihak dipersilakan menyemak semula undang-undang antarabangsa dan segala piagam yang terkandung di dalamnya,” kata Abdul Hadi.