Kanak-kanak lemas jatuh longkang ketika main hujan

Mangsa ditemui lemas kira-kira 100 meter dari Masjid Bukit Malut, Langkawi pada Jumaat. - Foto IPD Langkawi
Mangsa ditemui lemas kira-kira 100 meter dari Masjid Bukit Malut, Langkawi pada Jumaat. - Foto IPD Langkawi
A
A
A

LANGKAWI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui lemas dalam saluran longkang berhampiran Masjid Bukit Malut, dekat sini.

Mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 1.50 petang.

Menurutnya, semasa kejadian mangsa dipercayai bersama-sama sekumpulan kanak-kanak sedang bermain air hujan di hadapan Masjid Bukit Malut dan kemudiannya terjatuh di dalam saluran longkang yang bertutup sebelum dihanyutkan.

"Pihak polis, bomba dan orang awam berusaha mencari mangsa dan mangsa ditemukan sekitar jam 2.15 petang, iaitu lebih kurang 100 meter dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

"Ambulans yang tiba mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cuaca dilaporkan hujan lebat semasa kejadian berlaku.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat yang dijadualkan pada 8 malam ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan: