X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

DAP nafi terlibat surat tawaran sumbangan vaksin

Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - DAP Pulau Pinang tidak pernah menulis surat bagi pihak individu yang kononnya mahu menyumbangkan 2 juta dos vaksin Covid-19 kepada kerajaan Pulau Pinang.

Menyifatkan dakwaan itu amat berat dan tidak berasas, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani di sini pada Jumaat.

Kon Yeow berkata, perkara itu ditulis dalam laporan sebuah portal berita berbahasa Inggeris yang memetik kenyataan Yong Chee Kong.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tawaran sumbangan 2 juta dos vaksin kepada Pulau Pinang telah menjadi satu kontroversi yang menyimpang daripada tujuan asal pihak kerajaan negeri membangkitkan perkara berkenaan pada sidang media sebelum ini.

"Perkara ini dilihat sebagai suatu perkembangan yang amat malang.

"Ingin ditegaskan bahawa bukan menjadi hasrat kerajaan negeri untuk berperang mulut dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan Persekutuan.

"Sebaliknya, matlamat utama kerajaan negeri Pulau Pinang adalah untuk mendapatkan bekalan vaksin tambahan pada kadar segera bagi memastikan kadar vaksinisasi boleh dipercepatkan demi melindungi nyawa serta menyelamatkan ekonomi rakyat negeri ini secara keseluruhan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang kena scam: Khairy

Penyumbang vaksin Pulau Pinang enggan tunjuk bukti: Khairy

Pulau Pinang mohon syarikat tawar sumbangan vaksin beri penjelasan

Beliau menegaskan bahawa isu sebenar di sini adalah perolehan bekalan vaksin untuk rakyat Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada Rabu telah berbincang mengenai kontroversi tersebut dan memutuskan untuk memberi tumpuan terhadap pendekatan terbaik dalam memperoleh bekalan vaksin pada tempoh masa terdekat sebagai memenuhi permintaan rakyat negeri ini untuk menerima vaksin dengan kadar segera.

Katanya, mesyuarat Exco juga memutuskan untuk menggunakan dana kerajaan negeri bagi membeli vaksin tambahan untuk dihantar segera selain yang bakal dibekalkan oleh kerajaan Persekutuan demi kepentingan serta kegunaan rakyat negeri ini.

"Bagi tujuan tersebut, saya telah menghantar surat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada hari ini untuk mendapatkan kebenaran pembelian vaksin secara terus oleh kerajaan negeri daripada syarikat pembekal yang diluluskan oleh kerajaan Persekutuan dalam negara ataupun secara langsung daripada syarikat pengeluar vaksin.

"Saya berharap kerajaan Persekutuan akan memberi maklum balas positif terhadap permohonan berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengulangi komitmen untuk mengetepikan perbezaan politik bagi menjayakan kempen melawan pandemik Covid-19 termasuk pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kerana tercetusnya kontroversi ini dan berharap kita akan meneruskan segala usaha dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 seterusnya demi kebaikan seluruh rakyat di negara ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!