SRC saman Najib dakwaan pecah amanah wang pinjaman KWAP RM4 bilion

Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - SRC International Sdn Bhd di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan enam lagi atas dakwaan melakukan pecah amanah serta melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berjumlah RM4 bilion kepada SRC.

SRC, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memfailkan writ saman pada 7 Mei lepas menerusi sistem e-filing dengan menamakan Najib serta enam bekas pengarah SRC iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah@Rashidi Che Omar sebagai defendan.

Najib merupakan Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), mendakwa kesemua defendan berkomplot dan melakukan pecah amanah selain mendakwa bekas Perdana Menteri itu menyalah guna kuasa serta mendapat manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

Oleh itu, plaintif menuntut deklarasi supaya kesemua defendan bertanggungjawab membayar kerugian dana pelaburan akibat penggunaan jumlah pinjaman tersebut selain ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC dalam writ samannya menyebut pada Januari 2019, syarikat itu telah diletakkan di bawah jagaan pegawai daripada Kementerian Kewangan (pengurusan baharu) dan setelah meneliti serta menyemak rekod SRC, mendapati bahawa pengarah terdahulu SRC tidak mengambil sebarang langkah munasabah bagi memastikan pinjaman KWAP berjumlah RM4 bilion kepada SRC pada 2011 dan 2012 digunakan dengan betul bagi membiayai aktiviti pelaburan am syarikat itu dan keperluan modal kerja am.

Dakwa syarikat itu, pengarah terdahulu tidak memantau pelupusan berjumlah RM3.6 bilion kepada SRC BVI (dana pelaburan dicadangkan) kononnya bagi SRC melaksanakan aktiviti pelaburan dalam sektor tenaga dan sumber di luar negara serta gagal memantau pendedahan Kerajaan Malaysia terhadap jaminan yang diberikan kepada SRC dan gagal menyoal siasat penyalahgunaan dana SRC.

"Pengurusan baharu itu turut mendapati sejumlah besar pengeluaran, pemindahan dan penggunaan pinjaman KWAP adalah secara frod atau salah,” menurut syarikat itu dalam writ samannya.

Artikel Berkaitan:

Pada hari yang sama juga (7 Mei), 1MBD selaku plaintif memfailkan saman terhadap firma guaman Tetuan Wong & Partners dan rakan kongsinya Brian Chia Hock Gee sebagai defendan pertama dan kedua bagi menuntut ganti rugi AS$1 bilion serta pembayaran fi perundangan sebanyak RM664,821.21.

1MDB menerusi writ samannya mendakwa kedua-dua defendan secara bersama dan berasingan melanggar kewajipan statutori terhadap syarikat itu bagi pihak Najib dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low serta sekutu mereka sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1 bilion.

Kedua-dua kes ditetapkan untuk pengurusan pada 1 Jun ini melalui sidang video di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Liza Chan Sow Keng.

Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan SRC telah memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan. - Bernama