Hubungan Malaysia-China tetap positif, erat: Muhyiddin

Muhyiddin Yassin ketika mengadakan perbincangan secara persidangan video dengan Li Kegiang pada Jumaat. - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin ketika mengadakan perbincangan secara persidangan video dengan Li Kegiang pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Hubungan dua hala Malaysia dan China terus berkembang positif dan erat walaupun berdepan cabaran getir kesan penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan bersama Perdana Menteri China, Li Keqiang tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Menurutnya, usaha tersebut menerusi penerokaan bidang baharu untuk kepentingan bersama selain kerjasama sedia ada dalam ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

“Kerjasama ini termasuk aspek penghasilan vaksin Covid-19 secara ‘fill and finish’ di Malaysia, kerjasama dalam bidang perdagangan elektronik, teknologi tinggi, ekonomi digital, pertanian dan agromakanan, pembangunan keselamatan makanan serta program pembasmian kemiskinan.

“Kerajaan China telah memberikan respons amat positif supaya cadangan-cadangan kerjasama ini dibincangkan dengan lebih terperinci di peringkat kementerian-kementerian yang berkaitan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Li Keqiang bersama Muhyiddin Yassin ketika mengadakan perbincangan secara persidangan video, pada Jumaat. - Foto Bernama
Li Keqiang bersama Muhyiddin Yassin ketika mengadakan perbincangan secara persidangan video, pada Jumaat. - Foto Bernama

Mengulas lanjut, Muhyiddin dan Keqiang sepakat untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dan proaktif antara kedua-dua negara bagi mengatasi wabak tersebut, seterusnya memacu proses pemulihan antaranya dengan kolaboratif berterusan dalam bidang yang telah dipersetujui sebelum ini seperti pembekalan vaksin, keselamatan makanan serta rantaian bekalan yang terjamin.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan China yang menjadi negara pertama menghulurkan bantuan kepada Malaysia di peringkat awal penularan pandemik Covid-19, bukti keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan China,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Muhyiddin berkata, dalam aspek ekonomi dan perdagangan pula, kedua-dua negara bersetuju bahawa komuniti perniagaan serta para pelabur di Malaysia dan China perlu terus meningkatkan jalinan hubungan ekonomi dengan memanfaatkan peluang-peluang yang ditawarkan.

“Kami turut menyentuh mengenai isu-isu antarabangsa melibatkan situasi di Palestin dan Myanmar.

“Kami berdua bersetuju bahawa situasi yang memberi kesan kepada rakyat kedua-dua buah negara ini dan rantau sekelilingnya memerlukan desakan segera daripada semua komuniti antarabangsa agar dihenti dan diselesaikan segera.

“Dalam hal ini, saya turut memaklumkan langkah-langkah yang telah diambil oleh Malaysia dan negara lain di platform antarabangsa," kata beliau.