Banjir: Helikopter diguna hantar bantuan makanan di Sabah

Dua helikopter digunakan bagi menghantar 2,000 bantuan bakul makanan kepada lebih 1,400 mangsa banjir di Tenom, Beaufort dan Sipitang. - Foto sumber media sosial
Dua helikopter digunakan bagi menghantar 2,000 bantuan bakul makanan kepada lebih 1,400 mangsa banjir di Tenom, Beaufort dan Sipitang. - Foto sumber media sosial
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor pada Jumaat mengarahkan dua buah helikopter digunakan bagi menghantar sebanyak 2,000 bantuan bakul makanan kepada lebih 1,400 mangsa banjir di Tenom, Beaufort dan Sipitang.

Menteri Kewangan negeri itu berkata, kerajaan melalui Jawatankuasa Bencana negeri Sabah meluluskan bantuan berkenaan untuk setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Tenom dan Beaufort.

"Bantuan makanan juga akan diagihkan kepada mereka yang terputus perhubungan darat di beberapa kawasan di Tenom.

"Manakala bagi Sipitang dan Keningau, bantuan makanan akan diurus oleh Jawatankuasa Bencana Daerah masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mendapatkan bantuan pengangkutan udara pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, semua kawasan dan daerah berisiko banjir termasuk yang memerlukan bantuan sentiasa dipantau kerajaan menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri dan di peringkat daerah masing-masing.

Setakat jam 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir dipindahkan di Sabah meningkat mendadak kepada 1,447 mangsa berbanding 332 mangsa pada 4 petang semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan: