X

Kindly register in order to view this article
!

China, Rusia tingkat kolaborasi tenaga nuklear

Presiden Rusia, Vladimir Putin menyertai upacara pecah tanah projek kerjasama tenaga nuklear China-Rusia melibatkan dua loji iaitu Tianwan dan Xudapu, berlangsung secara maya pada Rabu. Foto EPA
A
A

BEIJING - Upacara pecah tanah projek kerjasama tenaga nuklear China-Rusia melibatkan dua loji iaitu Tianwan dan Xudapu, berlangsung secara maya pada Rabu sambil disaksikan pemimpin kedua-dua negara.

Projek tersebut merupakan program kolaborasi tenaga nuklear terbesar kedua-dua negara setakat ini, serta antara kerjasama pragmatik bertaraf tinggi.

Ketua penyelidik penyedia maklumat tenaga dan khidmat nasihat www.China5e.com, Han Xiaoping berpendapat, China dan Rusia menguasai teknologi canggih dalam membina loji kuasa nuklear.

Menurut Xiaoping, pelancaran projek kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua negara saling melengkapi menerusi kelebihan masing-masing dan meningkatkan lagi kemampuan teknikal.

"Rusia mempunyai banyak kelebihan dalam teknologi berkaitan pembinaan loji tenaga nuklear dan saya percaya kerjasama ini mampu membantu memajukan teknologi tersebut.

"Walaupun China kini menggunakan reaktor generasi ketiga, namun teknologi Rusia juga terus bertambah maju sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kolaborasi kedua-dua negara juga kondusif bagi meningkatkan lagi penggunaan tenaga bersih," kata Xiaoping.

Tambah beliau, teknologi reaktor nuklear generasi ketiga yang diguna pakai dalam projek itu bukan sekadar mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi, malah kondusif bagi memperkasakan usaha sama dalam bidang berkenaan.

Di bawah perjanjian dimeterai pada Jun 2018, China dan Rusia sepakat untuk bekerjasama membina unit 7 dan 8 loji tenaga nuklear Tianwan di Lianyungang, wilayah Jiangsu, serta unit 3 dan 4 loji tenaga nuklear Xudapu di Huludao, wilayah Liaoning. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!