'Beli barang keperluan' alasan rentas negeri

Anggota polis bertugas memeriksa pengguna jalan raya dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19. FOTO: Ihsan polis
Anggota polis bertugas memeriksa pengguna jalan raya dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19. FOTO: Ihsan polis
A
A
A

KEMAMAN - Tindakan berani lima lelaki merentas negeri dengan alasan mahu membeli barangan keperluan harian memakan diri apabila dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang pada Rabu.

Semua lelaki berusia antara 19 hingga 59 tahun itu melanggar larangan rentas negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menggunakan laluan tikus sebelum ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tindakan lima lelaki berkenaan berjaya dikesan dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 di Jalan Kampung Paya Berenjut, Chukai, di sini.

“Ketika ditahan, mereka memberi alasan masuk ke negeri ini untuk beli barang keperluan harian dan gagal mengemukakan surat kebenaran rentas negeri ketika diminta anggota bertugas,” katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hanyan berkata, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk diambil keterangan sebelum pihaknya mengeluarkan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan tindakan segelintir masyarakat yang masih melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKP walaupun pelbagai peringatan sudah diberikan mengenai larangan rentas negeri.

Sehubungan itu katanya, polis akan mengetatkan lagi kawalan terutama di laluan tikus bagi mengelak berlakunya pergerakan rentas negeri dan daerah sebagai usaha memutuskan rantaian Covid-19 yang semakin menular.

“Saya harap orang ramai terus mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan susulan pelaksanaan PKP dan tidak melakukan kesalahan yang melanggar SOP bagi mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Artikel Berkaitan: