Sabah ditawar vaksin Sinopharm

Hajiji (dua dari kiri) menerima replika cek sumbangan sebanyak RM200,000 daripada syarikat Kanger International Sdn Bhd di PPNS, Kota Kinabalu pada Jumaat.
Hajiji (dua dari kiri) menerima replika cek sumbangan sebanyak RM200,000 daripada syarikat Kanger International Sdn Bhd di PPNS, Kota Kinabalu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah ditawarkan vaksin Covid-19 jenama Sinopharm untuk diedarkan di Sabah oleh syarikat Kanger International Sdn Bhd, pada Jumaat.

Bagaimanapun, kerajaan Sabah hanya akan menerima vaksin itu selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kegembiraannya apabila masyarakat sudah mula menyedari bahawa pentingnya untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

"Walaupun terdapat beberapa tuduhan tidak berasas (mengenai vaksin) dilakukan, tetapi ramai orang telah datang ke pusat vaksinasi untuk mendapatkan suntikan vaksin," katanya dalam satu majlis ringkas penyerahan sumbangan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, Hajiji sekali lagi meminta agar lebih ramai rakyat mendaftar melalui aplikasi Mysejahtera untuk mendapatkan vaksin.

"Kerjasama daripada masyarakat sangat penting untuk membantu mencapai imuniti kelompok dan menghentikan wabak itu," katanya.

Sebelum itu, syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia itu turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 untuk membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Hajiji berharap lebih banyak syarikat tampil membantu kerajaan untuk bersama-sama memerangi pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap, lebih ramai tampil dan mencontohi tindakan Kanger untuk membantu memerangi pandemik ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kanger International Sdn Bhd, Steven Kuah berkata, sumbangan itu diharapkan dapat mengurangkan beban rakyat Sabah.

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi.