Persedar keluar PSM

Abdul Puhat
Abdul Puhat
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar) mengambil tindakan keluar daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) demi kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw negara pada masa hadapan.

Presiden Persedar, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, badan induk sepak takraw Perak itu memandang serius keputusan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berhubung penyingkiran PSM sebagai ahli gabungannya pada Khamis.

Menurut Abdul Puhat, penyingkiran tersebut secara tidak langsung akan menjejaskan sukan sepak takraw negara pada masa hadapan.

"Persedar melalui mesyuarat jawatankuasa induk pada Jumaat memutuskan penarikan diri daripada ahli gabungan PSM berkuatkuasa serta merta bagi memastikan kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw negara.

"Persedar setulus hati ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada PSM serta kepimpinannya atas usaha dan bakti yang telah ditaburkan kepada sukan sepak takraw negara sepanjang penubuhannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam masa sama, Abdul Puhat berkata, Persedar menyokong usaha penubuhan persatuan badan induk negara yang baharu bagi memastikan kelangsungan sukan sepak takraw terus maju ke hadapan.

Keputusan Persedar tersebut menjadikan persatuan itu ahli gabungan ketujuh yang keluar daripada PSM selepas Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap).

Artikel Berkaitan: