80 pesakit Covid-19 ditempatkan di PKRC MITC

Rahmad (tengah) ketika meninjau persiapan PKRC MITC di Ayer Keroh di sini pada Jumaat.
Rahmad (tengah) ketika meninjau persiapan PKRC MITC di Ayer Keroh di sini pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seramai 40 hingga 80 pesakit positif Covid-19 yang bergejala rendah akan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada Jumaat.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariam berkata, mereka merupakan pesakit terawal ditempatkan di situ daripada 125 pesakit Covid-19 di negeri ini yang sedang dinilai sama ada mahu dihantar ke MITC atau Hospital Melaka.

Menurutnya, persiapan dan persediaan rapi dijalankan dan yakin tidak timbul masalah kesesakan di PKRC biarpun setakat ini terdapat 1,500 katil.

"Bangunan MITC ini mampu menampung sehingga 11,800 katil jika ada keperluan. Ini merupakan PKRC awam pertama di Melaka yang diwujudkan dan dianggarkan kita akan menerima pesakit terawal sehingga 80 orang pada hari ini," katanya.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, setakat ini unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka telah menempatkan seramai 114 pesakit iaitu 158.3 peratus dan jumlah itu masih terkawal serta belum dikategorikan kronik.

Menurutnya, daripada jumlah itu 10 pesakit masih menggunakan bantuan pernafasan sementara 45 katil daripada 70 katil yang disediakan telah diisi pesakit.

"Pesakit Covid-19 yang ditempatkan di wad setakat ini seramai 178 pesakit dan wad penempatan yang disediakan boleh menampung seramai 1,101 pesakit berdasarkan jumlah katil disediakan," katanya.

Artikel Berkaitan: