Remaja buat aksi 'wheelie' ditahan polis

Aksi remaja berkenaan tular di media sosial sejak petang Khamis.
Aksi remaja berkenaan tular di media sosial sejak petang Khamis.
A
A
A

JEMPOL- Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis kerana melakukan aksi ‘wheelie’ ketika menunggang motosikal berhampiran sebuah stesen minyak di Mahsan dekat sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, video aksi remaja itu dikesan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan setelah tular di media sosial sejak petang Khamis.

“Ekoran maklumat tersebut, kira-kira jam 2 pagi Jumaat, pihak JSPT telah ke kediaman remaja berkenaan di Mahsan dan dia mengaku terlibat di dalam video tersebut serta barang-barang kes telah dirampas.

"Remaja berkenaan direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Chang Hook turut memberi amaran dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang sengaja melanggar undang-undang jalan raya dengan cara menunggang secara melulu dan merbahaya.

"Ibu bapa diingatkan supaya memantau aktiviti anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang di negara ini," katanya.

Pada Khamis kira-kira jam 6.20 petang tular di laman sosial Instagram memaparkan seorang remaja lelaki melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan motosikal jenis Honda EX5 atau 'wheelie' beberapa kali berhampiran sebuah stesen minyak di Mahsan.

Artikel Berkaitan: