X

Kindly register in order to view this article
!

Dua sindiket tumpas, dadah bernilai RM14.5 juta dirampas

Pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada Isnin dan Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah methamphetamine dan heroin dengan tertangkapnya lapan individu warga tempatan dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Isnin dan Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunidi Mohamed berkata, serbuan yang dijalankan itu turut merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM14.5 juta.

"Dalam serbuan pertama, kita menahan seorang lelaki di dalam sebuah kereta Perodua Myvi warna kelabu di sebuah kondominium di Bandar Kinrara pada jam 1.20 petang Isnin.

"Hasil pemeriksaan, kita merampas satu kotak mengandungi 10 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki syabu anggaran berat 10.3 kilogram (kg) dan 14 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki heroin seberat 6.3 kg," katanya pada sidang akhbar melalui Google Meet pada Jumaat.

Arjunaidi berkata, hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah unit kondominium di tingkat 14 berkenaan pada jam 2.15 petang.

"Kita merampas satu beg plastik dan satu beg kain berisi 27 bungkusan plastik mengandungi syabu (29.2 kg).

"Turut dirampas empat beg plastik dan satu kotak berisi 129 bungkusan disyaki heroin (84.51 kg)," katanya.

Beliau berkata, pada hari sama, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Kinrara pada jam 1.45 petang.

"Kita menahan seorang lelaki serta merampas 542 biji pil ekstasi, dua peket plastik berisi tumbuhan kering disyaki ganja dan satu peket plastik mengandungi syabu (2.32 gram) di dalam almari baju di bilik utama rumah berkenaan," katanya.

Arjunaidi berkata, pemeriksaan seterusnya di dalam bilik lain pula telah menjumpai wang tunai anggaran RM1.08 juta dipercayai hasil dari aktiviti pengedaran dadah.

"Hasil soal siasat, kita telah memberkas empat lelaki lagi di Brickfields dan Subang Jaya untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, hasil semakan ke atas kesemua lelaki berusia 24 hingga 45 tahun itu mendapati mereka mempunyai rekod dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing pula mendapati seorang sahaja positif tetra hydrocannibol (THC)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut menyita dua buah kereta iaitu Honda CRV dan Volkswagen Polo, tiga motosikal jenis Yamaha NVX 155, Yamaha Y15ZR dan Yamaha Y125ZR dan enam barang kemas bernilai RM22,540.

"Selain itu empat jam tangan mewah iaitu Cerruti, Tissot, Alexandre Christie dan Police bernilai RM6,000 turut disita serta satu akaun bank yang mempunyai simpanan sebanyak RM6,000," katanya.

Sementara itu, dalam serbuan ke atas sindiket kedua pula, Arjunaidi berkata, seorang lelaki yang berada di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di tepi jalan Seri Kembangan pada jam 3.30 petang Selasa telah ditahan.

"Hasil soal siasat kita menyerbu sebuah rumah di kawasan berhampiran dan dua beg kanvas dan dua kotak di dalamnya berisi 148 ketulan disyaki heroin base (56.24 kg).

"Kita turut merampas empat beg kanvas berisi 78 bungkusan dadah syabu (79.54 kg) dan peralatan-peralatan untuk membungkus dadah," katanya.

Menurutnya, pada hari yang sama, seorang lelaki diberkas dalam serbuan di sebuah kondominium di Seri Kembangan pada jam 4.40 petang.

"Hasil soal siasat, polis telah pergi ke tempat letak kereta kondominium tersebut untuk membuat pemeriksaan dalam sebuah kereta Volkswagen.

"Kita telah menjumpai tiga beg kanvas di dalamnya berisi 50 bungkusan dadah syabu (51 kg)," katanya.

Beliau berkata, dua suspek berusia 25 dan 41 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek adalah negatif," katanya.

Arjunaidi memaklumkan kesemua suspek bagi kedua-dua kes itu telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!