Lelaki didenda RM2,000 miliki mercun

K Sokalingam, dipercayai penjual mercun tanpa lesen yang sah dibawa oleh anggota polis ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk pendakwaan kes kejadian melontar mercun ke arah anggota polis di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, pada Jumaat. - Foto Bernama
K Sokalingam, dipercayai penjual mercun tanpa lesen yang sah dibawa oleh anggota polis ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk pendakwaan kes kejadian melontar mercun ke arah anggota polis di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bapa tiga anak didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas kesalahan memiliki mercun minggu lalu.

K Sokalingam, 58, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki pelbagai bahan letupan antaranya tiga kotak bertulis 'Happy Boom Red Cracker', dua kotak bunga api bertulis Happy Boom Ground Boom Flower', 130 mercun berbentuk bola dan 18 kotak kecil mercun mancis 'Happy Boom Red Cracker' yang didapati tanpa kebenaran serta tujuan sah mengikut undang-undang.

Kejadian didakwa dilakukan di Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul di sini, pada jam 11 malam, 13 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, dia boleh dihukum bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Abd Khaliq Nazeri mencadangkan tertuduh diberi hukuman berbentuk pemenjaraan demi kepentingan awam.

"Kita berharap kesalahan seumpama itu tidak berulang di masa depan, terutama ketika musim perayaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Ahmad Ikram Ab Alim merayu agar anak guamnya diberi hukuman minima tanpa pemenjaraan kerana Sokalingam mempunyai penyakit jantung.

"Untuk pengetahuan mahkamah, anak guam saya mempunyai lesen menjual mercun kecuali mercun bola," katanya.

Pada 14 Mei lalu, pihak polis mengesahkan telah menangkap tiga lelaki berhubung kejadian anggota polis dilempar mercun semasa membuat rondaan dan pemantauan pembakaran mercun secara terbuka di sebuah flat di Bandar Baru Sentul, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil tangkapan tiga lelaki berusia 44 tahun, 12 tahun dan 13 tahun itu, pihak polis telah menyerbu sebuah premis 39 dalam flat yang sama dan menangkap seorang lelaki berusia 58 tahun kerana didapati menjual mercun.

Sebelum itu, tindakan polis menyuraikan kira-kira 200 individu yang berkumpul bertukar gempar apabila dibaling mercun oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam kejadian di Flat Sri Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis dilontar mercun selepas minta orang ramai bersurai