Berbeza agama bukan penghalang bantu rakyat Palestin

Kalavathi mewakili Persatuan India.Prihatin Pahang menyerahkan sumbangan untuk rakyat Palestin kepada Andansura di Pusat Khidmat Dun Beserah, di sini pada Khamis.
Kalavathi mewakili Persatuan India.Prihatin Pahang menyerahkan sumbangan untuk rakyat Palestin kepada Andansura di Pusat Khidmat Dun Beserah, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Perbezaan agama tidak menjadi penghalang kepada Persatuan India Prihatin Pahang menghulurkan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin.

Pengerusinya, M Kalavathi berkata, sebagai seorang wanita dan ibu, nalurinya tersentuh apabila melihat wanita dan kanak-kanak Palestin terkorban serta cedera akibat serangan tentera Israel.

"Tangisan dan jeritan penduduk Palestin dipaparkan di kaca televisyen dan media sosial amat menyayat hati.

"Bagi saya, tindakan tentera Israel menyerang penduduk Palestin sebagai tindakan pengecut dan tidak berperikemanusiaan. Dalam krisis tersebut, sasaran peluru dan bom sepatutnya ditujukan kepada tentera atau pejuang kedua-dua pihak bukan menjadikan orang awam yang tidak berdosa sebagai sasaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Kalavathi berkata, serangan ketika rakyat Palestin sedang berpuasa dan semasa perayaan Aidilfitri juga disifatkan sebagai tindakan perang yang tidak beretika.

"Sepatutnya ketika dunia berdepan ancaman pandemik Covid-19, semua negara bersama-sama main peranan bendung penularan wabak itu bukan mengambil kesempatan berperang dengan lawan yang lemah," katanya.

Kalavathi mewakili persatuan tersebut menyerahkan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu di Pusat Khidmat Dun Beserah, di sini pada Khamis.

Kalavathi berkata, walaupun sumbangan dihulurkan tidak seberapa namun yang penting ia dapat menunjukkan bahawa rakyat negara ini dari pelbagai kaum prihatin dengan nasib rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Hanya sumbangan kecil ini kami mampu dan diharap sedikit sebanyak dapat membantu. Sumbangan disampaikan ini juga adalah sebagai mesej keamanan merentasi batasan kaum serta agama,"katanya.

Sementara itu Andansura berkata, krisis di Palestin bukan hanya mengenai kepercayaan tetapi melibatkan isu kemanusiaan merentasi sempadan agama dan bangsa.

"Terima kasih atas sumbangan Kalavathi yang mewakili Persatuan India Prihatin Pahang untuk tabung Aid4Palestine.

"Persatuan ini telah banyak bekerjasama dengan Pusat Khidmat DUN Beserah dalam pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan," katanya.