PBB, OIC perlu laksana agenda jangka panjang bela rakyat Palestin

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu melaksanakan pelan jangka panjang secara menyeluruh untuk memartabatkan hak rakyat Palestin.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya juga menggesa Majlis Keselamatan PBB di bawah mandat Perkara 41 Piagam PBB untuk meluluskan operasi keamanan ke Palestin bagi menjaga dan memberi jaminan keselamatan kepada penduduk awam di sana.

Menurutnya, ABIM turut berpandangan PBB dan OIC boleh menubuhkan misi tentera pengaman khusus di Palestin serta wilayah bergolak di sekitarnya memandangkan mandat tentera pengaman tidak dihadkan pada tempoh tertentu.

"Walaupun gencatan senjata amat dialu-alukan, ABIM berpendirian ia tidak seharusnya mematikan gesaan agar pencerobohan rejim Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa dan seluruh kompleks persekitarannya. Pengusiran rakyat Palestin dari kampung halaman mereka di Sheikh Al-Jarrah oleh Israel wajib dihentikan serta merta.

"Keganasan yang sentiasa berulang sejak beberapa dekad lalu adalah justifikasi penting untuk badan antarabangsa segera bertindak menangani sebarang kemungkinan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada masa sama, beliau berkata, ABIM turut menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kekal konsisten dan mempercepat proses pendakwaan ke atas Israel.

Menurutnya, pendakwaan itu berasaskan kesalahan rejim Israel mencabuli Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB.

"Resolusi ini mengesahkan bahawa pendudukan haram Israel di wilayah Palestin dan Jerusalem Timur (Baitul Maqdis) adalah tidak sah.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, ia harus dianggap sebagai pelanggaran ketara terhadap undang-undang antarabangsa," kata beliau.