Sindiket rokok seludup ubah taktik guna jalan pintas baharu

Infografik penyeludupan rokok melalui perairan Malaysia.
Infografik penyeludupan rokok melalui perairan Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sindiket rokok seludup dipercayai mengubah taktik menggunakan jalan pintas baharu yang dibantu menerusi teknologi canggih untuk melepasi langkah-langkah penguatkuasaan, menurut Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan Cawangan Malaysia (RTBA Malaysia), pada Jumaat.

Kenyataan daripada kumpulan advokasi yang melindungi perniagaan di rantau Asia Pasifik daripada jenayah itu susulan kenyataan terkini Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar bahawa sindiket penyeludupan yang beroperasi di sepanjang sempadan negara sekarang telah berpindah daripada menggunakan peralatan konvensional kepada teknologi canggih seperti dron.

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin berkata, berdasarkan analisis-analisis yang dilakukan, sindiket penyeludupan mengubah cara operasi mereka sebagai tindak balas ke atas peningkatan langkah-langkah penguatkuasaan selepas Belanjawan 2021 bagi membanteras perdagangan rokok seludup.

"Pelabuhan-pelabuhan besar di Malaysia sebelum ini menjadi laluan utama perdagangan rokok seludup tetapi dengan sekatan terbaharu dilaksanakan, kumpulan penjenayah itu kini menggunakan jeti persendirian kecil dan tapak mendarat tidak rasmi di seluruh kawasan pantai Malaysia untuk menyeludup produk tidak dicukai dan haram mereka,” katanya.

Menurut Fazli, pihak berkuasa telah melaporkan bahawa mereka telah merampas sejumlah 76.2 juta batang rokok seludup yang dibawa masuk melalui laluan perairan pada suku pertama 2021 ini sahaja.

Beliau berkata, ini menandakan lonjakan besar jika dibandingkan sejumlah 34 juta batang rokok seludup yang dirampas pada keseluruhan tahun 2020 seperti dilapor di media massa.

“Jelas, peningkatan besar penyeludupan di perairan negara menunjukkan penjenayah menukar modus operandi mereka dan membina eko sistem logistik baharu yang mengambil kesempatan daripada perairan Malaysia yang luas dan kurang kawalan keselamatan.

"Laluan perairan memerlukan penyelarasan kerana banyak jenis pengangkutan digunakan. Kapal kargo besar digunakan bagi mengangkut rokok haram dari pelbagai negara di perairan antarabangsa, manakala bot lebih kecil digunakan bagi membawa masuk barangan ke perairan Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, bot nelayan dan bot laju, kemudiannya akan mengambil barangan tersebut di luar pesisir dan membawa mereka ke daratan di kawasan pantai yang tidak dikawal.

"Akhirnya, lori atau van akan mengangkut barangan itu ke gudang rahsia atau tempat tertentu untuk diedarkan," katanya.

Fazli Nordin
Fazli Nordin

Memandangkan perkembangan ini, Fazli percaya sebarang kemajuan untuk diraih menerusi langkah-langkah penguatkuasaan seperti digariskan di dalam Bajet 2021 bagi menangani perdagangan rokok tidak sah ini tidak akan lama sebaik sahaja sindiket jenayah mengukuhkan sistem logistik baharu mereka.

"Ia lazimnya berkaitan dengan faktor permintaan dan pembekalan. Permintaan bagi rokok seludup murah akan berterusan di tahap tinggi kerana rokok sah sekarang sangat mahal. Sindiket jenayah biasanya akan mengambil kesempatan daripada permintaan tinggi ini dan melakukan apa sahaja untuk mengaut keuntungan besar, sekali gus menjejaskan hasil kerajaan dan merosakkan ekonomi negara,” ujar beliau.

RTBA Malaysia katanya, menyarankan supaya kerajaan Malaysia berusaha mengukuhkan usaha-usaha membanteras perdagangan rokok seludup dengan lebih banyak sumber dan perhatian diberikan untuk mengawal perairan di seluruh negara.

"Sama seperti sindiket jenayah tersebut, agensi penguatkuasaan kita juga perlu mengguna pakai teknologi baru dan menggunakan kaedah inovatif untuk berada selangkah di hadapan mereka.

"Sama penting juga, polisi-polisi bagi menangani jurang harga yang besar antara rokok sah dan seludup perlu dipertimbangkan dan dilaksanakan. Bajet 2022 yang akan datang hendaklah memasukkan perubahan pintar yang menangani faktor permintaan sehingga sindiket jenayah ini akan mendapati penyeludupan rokok tidak lagi menguntungkan,” tegasnya.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul, mengumumkan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi akan diperkukuhkan dengan penyertaan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan.

Tengku Zafrul turut menggariskan beberapa langkah yang akan membantu mengurangkan bilangan rokok seludup di negara ini.

Ia termasuk membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu, mengetatkan pembaharuan lesen import bagi rokok, mengehadkan transhipmen rokok di pelabuhan khusus sahaja, mengenakan cukai import ke atas rokok yang bertujuan untuk dieksport, melarang transhipmen rokok dan mengeksport rokok menggunakan bot kecil dan menjadikan rokok dan produk tembakau layak dicukai di semua pulau bebas cukai dan mana-mana zon perdagangan bebas yang dibenarkan penjualan runcit rokok bebas cukai.