30 syarikat besar di Negeri Sembilan setuju beli vaksin sendiri

30 syarikat besar di Negeri Sembilan bersetuju untuk membeli vaksin sendiri bagi menangani masalah penularan Covid-19 dalam kluster pekerjaan.
30 syarikat besar di Negeri Sembilan bersetuju untuk membeli vaksin sendiri bagi menangani masalah penularan Covid-19 dalam kluster pekerjaan.
A
A
A

SEREMBAN - Kira-kira 30 syarikat besar di Negeri Sembilan bersetuju untuk membeli vaksin sendiri bagi menangani masalah penularan Covid-19 dalam kluster pekerjaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Mohamad Rafie berkata, kesediaan syarikat tersebut dalam pembelian vaksin dapat memanfaatkan hampir 20,000 pekerja dan kerajaan negeri sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu syarikat tersebut mendapatkan vaksin Covid-19.

“Kebanyakan kluster di negeri ini berlaku di sektor perkilangan, contohnya Kluster Lengkuk jadi majikan melihat terdapat keperluan untuk memberikan vaksin kepada pekerja mereka dalam kadar segera selain ia adalah satu tanggungjawab bagi mengekang penularan wabak," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kesediaan syarikat-syarikat besar ini untuk membeli vaksin tersebut dapat membantu kerajaan Persekutuan dalam urusan pemberian vaksin kepada golongan lebih memerlukan.

Sementara itu beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan suntikan vaksin kepada orang awam di negeri ini kerana setakat ini hanya 14 peratus penerima vaksin di negeri ini.

Justeru, masyarakat di negeri ini digesa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutamanya menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan termasuk kerap mencuci tangan bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Negeri Sembilan merekodkan 291 kes baharu Covid-19 pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif wabak itu sebanyak 21,504 kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: