X

Kindly register in order to view this article
!

Dua pegawai maritim didakwa terima suapan

Mohamad Sulhan (kiri), Mohd Rusdi (kanan) diiringi pegawai SPRM selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat.
A
A

KUANTAN -Pengarah dan Bitara Kanan Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedeli, Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat masing-masing atas tuduhan rasuah.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan atas tuduhan menerima suapan daripada pemilik syarikat perkapalan atas dorongan tidak melakukan pemeriksaan dan mengambil tindakan terhadap kapal milik syarikat berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedeli, Mohamad Sulhan Zainon, 51, berdepan 13 pertuduhan rasuah membabitkan nilai suapan keseluruhan RM28,000.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, Wan Saharuddin Wan Ladin.

Berdasarkan pertuduhan itu, tertuduh didakwa menerima suapan antara RM2,000 hingga RM4,000 daripada pengarah syarikat perkapalan atas dorongan tidak melakukan pemeriksaan ke atas dua kapal dipercayai milik syarikat itu.

Suapan itu diterima secara pindahan wang ke akaun bank miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara April 2019 hingga 27 November tahun lalu di sebuah cawangan bank di sini.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah dibebaskan dengan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan manakala 30 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, Bitara Kanan Maritim Zon Sedeli, Mohd Rusdi Mohd Joha, 47, didenda RM4,500 selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan rasuah.

Tertuduh yang juga Ketua Bot Petir 50 didakwa menerima suapan RM3,000 daripada pemilik sebuah syarikat perkapalan sebagai dorongan melepas sebuah kapal daripada ditahan, diperiksa dan diambil tindakan setelah gagal mengemukakan surat kebenaran berlabuh.

Dia didakwa menerima suapan itu melalui pindahan wang masing-masing berjumlah RM1,000 ke akaun bank miliknya antara April hingga Jun tahun lalu di sebuah bank di Jalan Bank, di sini.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara dan hanya didenda kurang daripada RM1,000 atas alasan terpaksa menanggung isteri dan empat anak.

Dia juga bimbang, hukuman penjara akan menyebabkan dia kehilangan kerja.

Mengambil kira rayuan tertuduh dan hujah pihak pendakwaan, Ahmad Zamzani menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara selama dua bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!