PKPD: Orang ramai serbu pasar raya

Orang ramai beratur panjang menunggu giliran untuk masuk ke sebuah pasar raya di Bandar Meru Raya, Ipoh malam Khamis untuk membeli barangan keperluan menjelang pelaksanaan PKPD yang akan bermula pada Sabtu.
Orang ramai beratur panjang menunggu giliran untuk masuk ke sebuah pasar raya di Bandar Meru Raya, Ipoh malam Khamis untuk membeli barangan keperluan menjelang pelaksanaan PKPD yang akan bermula pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Beberapa pasar raya di sekitar Ipoh diserbu orang ramai menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi Mukim Hulu Kinta bermula 22 Mei ini.

Tinjauan Sinar Harian sejak petang Khamis mendapati orang ramai beratur panjang di pasar raya di sekitar Ipoh untuk mendapatkan bekalan keperluan.

Malah dalam tinjauan pada pagi Jumaat, di Pusat Bandar Ipoh, Bandar Meru Raya, Klebang, Jelapang dan Silibin mendapati orang ramai sanggup beratur menunggu giliran sehingga ke luar pasar raya untuk mendapatkan barangan keperluan.

Bagaimanapun, kedai-kedai runcit kecil di sekitar bandar raya ini pula menerima kunjungan orang ramai dalam jumlah yang kecil.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dalam satu kenyataan menasihati orang ramai supaya merancang pembelian barangan berdasarkan kepada keperluan sebenar.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, semua pasar awam, pasar raya dan premis peruncitan masih dibuka dan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh PKPD.

Menurutnya, pihak KPDNHEP menggalakkan pihak peniaga, pasar raya dan peruncit supaya melakukan kawalan kendiri dengan menentukan had kuantiti dan jualan barangan yang bersesuaian bagi individu atau keluarga dalam memastikan bekalan barangan keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi.

"Berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan, KPDNHEP memberi jaminan bekalan barang keperluan asas sepanjang tempoh PKPD dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran seluruh Perak.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana bekalan barangan di peringkat pemborong, pengilang dan peruncit adalah mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, beliau berkata, penguat kuasa KPDNHEP sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan secara harian di premis-premis perniagaan meliputi peruncit, pemborong dan pengilang termasuk premis terbuka dan premis tetap seperti pasar awam, pasar raya, restoran, gerai makan, medan selera, trak makanan, stesen minyak, farmasi, bengkel dan lain-lain di seluruh Perak.

Katanya, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan barangan keperluan harian mencukupi dan peniaga mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Dalam masa sama, Saifullizan mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan seperti mengaut keuntungan yang tidak munasabah dengan menaikkan harga barangan, mempamerkan harga yang mengelirukan, menyorok barang kawalan serta menipu timbangan semasa PKPD.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan dan perundangan yang tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Pelindungan Pengguna 1999, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan akta-akta lain yang berkaitan sekiranya peniaga gagal mematuhinya.

Kerajaan pada Khamis telah mengumumkan pelaksanaan PKPD berkuat kuasa 22 Mei sehingga 4 Jun 2021 di empat mukim di Perak iaitu Mukim Pengkalan Hulu Daerah Hulu Perak, Mukim Taiping Daerah Larut, Matang dan Selama, Mukim Hulu Kinta dan Mukim Hulu Bernam Timur Daerah Muallim susulan peningkatan kes positif Covid-19.