DPIM mahu PKP diperketat, bukan ‘separa masak’

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

KOTA BHARU - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan dan diperketatkan seperti PKP 1.0 agar kes harian dapat diturunkan dengan drastik.

Ketua DPIM, Shahir Adnan berkata, rakyat makin tertekan dengan PKP yang berlarutan, namun hanya ‘separa masak’ yang menyebabkan kes harian tidak menunjukkan angka menurun.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor perlu menerima realiti bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar kes harian dan keadaan ini membimbangkan. Usah politikkan situasi Covid-19 dan tanggungjawab mereka adalah untuk mententeramkan keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan moratorium automatik selama tiga hingga enam bulan agar rakyat boleh bernafas seketika kerana banyak perniagaan merudum sejak awal bulan puasa.

Beliau berkata, rungutan dan tangisan peniaga perlu didengari kerana jualan persiapan hari raya yang terpaksa dibatalkan, mengakibatkan kerugian kepada mereka, terutamanya peniaga-peniaga kecil.

“Sekurang-kurangnya, kerajaan perlu memberikan pilihan untuk melaksanakan i-Lestari 2.0 atau i-Sinar 2.0 dalam situasi sekarang.

“Anak-anak pula sudah memulakan proses pembelajaran dan pengajaran di rumah. Menteri Kewangan juga perlu bertindak cepat dengan menyalurkan bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam belanjawan lalu bagi membantu pelajar.

“Sebanyak 150,000 laptop yang dijanjikan, kemudian “dipinjamkan” masih belum nampak hasilnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan perlu bertindak sebelum terlambat kerana rakyat kian terhimpit dan tersepit dengan keadaan semasa.

"Kami rakyat marhaen masih tidak nampak sinar di hujung jalan,” katanya.

Mengulas lanjut, Timbalan Pengerusi Ikatan Kelantan itu juga memberitahu, pelaksanaan PKP terpilih mengikut daerah agak mengelirukan dan membuatkan rakyat hilang arah, menyebabkan ramai tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.