Tak perlu buang duit kejar Kane

Harry Kane
Harry Kane
A
A
A

LEGENDA Manchester City, Francis Lee tidak melihat Harry Kane sebagai pemain yang tepat untuk mengisi jentera serangan skuad The Citizens itu.

Menurutnya, Kane bukan pemain yang sesuai untuk perancangan jangka panjang kelab itu apatah lagi akan menelan belanja yang besar untuk membawa masuk penyerang kelahiran England itu.

"Ada dua atau tiga pemain akan sesuai dengan City dan ada beberapa pemain yang saya lihat akan masuk ke kelab ini dan menjadi pemain yang luar biasa. Saya lebih suka melihat Erling Haaland dan Jack Grealish di sini.

"Saya merasakan amat sukar untuk Kane ke City kerana akan melibatkan wang yang banyak..bukan untuk tempoh yang pendek tetapi juga dua atau tiga tahun. Saya tak rasa dia pemain yang sesuai untuk tempoh masa panjang," katanya.

Kane sebelum ini memberikan bayangan mahu meninggalkan Tottenham Hotspur pada penghujung musim ini dan mahu bermain dengan pasukan yang mampu memenangi trofi kejuaraan.

City dilaporkan sedang mengejar tandatangan pemain berusia 28 tahun itu selain Chelsea dan Manchester United juga menunjukkan minat yang sama.

Lee yang pernah bermain sebagai penyerang City apda 1967 sehingga 1974 selain pernah menjadi pengerusi kelab itu pada 1994 sehingga 1998 percaya ramai lagi penyerang prolifik yang mahu menyertai City dan mengisi kekosongan ditinggalkan Sergio Aguero.

Dia turut menyifatkan penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku mempunyai apa yang dimahukan oleh City di jentera serangan selain harga yang jauh lebih murah berbanding Kane.

Artikel Berkaitan:

"Ada ramai pemain di dunia ini yang saya lihat mampu mengisi kekosongan di serangan City. Lukaku adalah salah seorangnya tetapi rekodnya bersama Manchester United di Liga Perdana Inggeris mungkin boleh dipersoalkan. Tetapi, dia menunjukkan prestasi baik ketika bersama Everton dan Inter.

"Namun, jika dia berada di bawah kendalian Pep Guardiola, keadaan mungkin berbeza buat Lukaku. Dengan sikap, latihan dan kecergasan yang betul, tiada yang mustahil apatah lagi pelan Pep yang cukup luar biasa," katanya.