Jangan kurang ajar: Armada Terengganu

Mohd Syaiful Irfan
Mohd Syaiful Irfan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Armada Bersatu Terengganu menyifatkan pemimpin DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau sebagai kurang ajar dan tidak beretika apabila mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan berikutan kegagalan pemimpin utama PH itu melunaskan manifesto.

Ketuanya, Mohd Syaiful Irfan Anang berkata, DAP tidak boleh bersikap menuding jari kepada perdana menteri dengan menyalahkan beliau secara individu kerana kerajaan sekarang yang dipimpin menteri kabinet turut dianggotai pemimpin DAP sendiri.

“Jangan mengeruhkan lagi keadaan kerana kami juga berhak untuk menyalahkan menteri daripada DAP namun kami tidak mengambil sikap seperti itu.

“Sebaliknya kita memberikan kerjasama,ruang serta peluang yang terbaik kepada menteri-menteri baru termasuk daripada DAP supaya mereka boleh memberikan komitmen terbaik demi manfaat rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Cheng Hau sebelum ini dilaporkan meminta Dr Mahathir supaya berundur daripada memegang jawatan perdana menteri kerana menganggapnya gagal dalam menunaikan janji-janji dalam manisfesto PH.

Menurutnya, DAP harus sedar bahawa kedudukan PH belum kukuh sepenuhnya dan sebarang usaha Dr Mahathir adalah tidak lebih daripada untuk memperkukuh dan memperkuat PH ke seluruh Malaysia sehingga ke Sabah dan Sarawak.

“Anda bebas nyatakan pendapat tetapi dengan meminta Perdana Menteri meletak jawatan, itu adalah keterlaluan dan berniat jahat serta mahu menjatuhkan kredibiliti pemimpin negara yang berusaha siang dan malam untuk membawa Malaysia ke tahap lebih baik.

“Anda yang sepatutnya meletakkan jawatan di dalam DAP dan kerajaan bukan Perdana Menteri. Saya nasihatkan kepada DAP, jangan kerana nila setitik,rosak susu sebelanga. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata padah binasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Mohd Syaiful meminta DAP tidak merosakkan hubungan baik dan muafakat yang selama ini terbina dalam PH demi semangat Malaysia Baharu sebenar supaya agenda menyelamatkan rakyat dan negara benar-benar dapat dilaksana dengan baik.