Bantu daftar vaksin luar bandar

PKD Bukti Kapar.
PKD Bukti Kapar.
A
A
A

KLANG- Pusat Komuniti Desa (PKD) yang diaktifkan sebagai Pusat Daftar Vaksin Luar Bandar bermula Khamis di seluruh negara akan memberikan manfaat kepada penduduk sekitar untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

Pengurus PKD Bukit Kapar, Siti Zubaidah Mohd Hassan berkata, pengurus-pengurus PKD akan menjadi petugas barisan hadapan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membantu penduduk luar bandar mendaftarkan diri mereka secara dalam talian (online).

Katanya, segelintir penduduk yang datang ke tempat itu kurang mahir menggunakan komputer untuk mendaftar.

“Jadi kami sebagai pemudah cara akan membantu mereka membuat pendaftaran secara online.

“Pada masa sama, kami juga memberikan penerangan kepada mereka mengenai vaksin sekali gus membantu mereka mendapatkan maklumat yang lebih tepat mengenainya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Orang ramai mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di PKD Bukit Kapar, Klang pada Khamis.
Orang ramai mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di PKD Bukit Kapar, Klang pada Khamis.

Siti Zubaidah berkata, inisiatif itu menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

“Kami berharap PKD di sini dapat membantu warga desa sekitar daerah Klang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, KPLB menyasarkan 20 hingga 30 peratus penduduk luar bandar mendaftar untuk menerima vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di 192 PKD di seluruh negara.

Pengurus PKD telah diberikan taklimat oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang mengendalikan hal ehwal imunisasi kebangsaan.

KPLB turut membantu agensi kerajaan lain dalam meningkatkan promosi dan publisiti serta menerangkan kepada masyarakat luar bandar mengenai keperluan mengambil vaksin.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga Sabtu, seramai 10,146,732 orang iaitu 41.80 peratus daripada golongan sasar sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin sejak pendaftaran vaksinasi dibuka tiga bulan lalu.

Orang ramai juga boleh membuat pendaftaran menerusi portal www.vaksincovid.gov.my.