Beri suntikan dos pertama vaksin kepada semua rakyat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberikan dos pertama vaksin Covid-19 kepada semua rakyat Malaysia ekoran lonjakan kes harian wabak itu yang melepasi angka 6,000 kes sejak Rabu.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pemberian dos pertama vaksin secara menyeluruh kepada semua rakyat itu akan dapat melindungi lebih banyak nyawa.

“Kalau kerajaan yakin hanya satu dos vaksin mampu memberikan perlindungan tanpa jejaskan keberkesanan vaksin itu, tidak ada masalah untuk berikan dos pertama kepada lebih ramai rakyat terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Singapura dan United Kingdom (UK) bercadang untuk memberikan suntikan dos pertama vaksin Covid-19 kepada seramai mungkin penduduk negara mereka.

Cadangan sama turut disuarakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan meminta kerajaan memberi tumpuan pada suntikan pertama kepada seluruh rakyat sebelum memulakan suntikan dos kedua.

Dr Zainal Ariffin berkata, pada masa sama kerajaan juga perlu memastikan stok vaksin dos kedua mencukupi.

Senada dengan Dr Zainal Ariffin, Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata, pemberian vaksin dos pertama secara menyeluruh itu harus dipercepatkan.

“Kaedah pemberian vaksin seperti yang mahu dilakukan Singapura dan UK memang bagus dan boleh turut sama dilakukan negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Cuma kita perlu memberikan mengikut keutamaan mengambil kira petugas barisan hadapan dan golongan berisiko seperti warga emas, penghidap penyakit kronik dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, langkah itu perlu dilakukan memandangkan kadar kematian yang dilaporkan turut naik mendadak seiring dengan peningkatan kes jangkitan harian Covid-19.

Justeru itu, ujarnya, kerajaan perlu merangka perancangan dengan teliti agar memperoleh bekalan yang cukup untuk menampung keperluan rakyat negara ini.

“Saya akui untuk buat perkara ini ia agak mencabar sebab bekalan yang kita terima setakat ini tidak cukup.

“Singapura mungkin boleh lakukannya sebab negara mereka tidak ramai tidak seperti populasi rakyat Malaysia yang ketika ini berjumlah lebih 32 juta orang.

“Namun kalau ada jaminan bahawa bekalan vaksin dos kedua akan sampai seperti yang dijadualkan, tidak salah sekiranya bekalan yang ada diberikan sebagai suntikan dos pertama secara menyeluruh,” katanya.