Bagaimana Wuhan 'bebas' daripada Covid-19

Orang ramai yang memakai pelitup muka berjalan di sebatang jalan di bandar raya Wuhan pada 19 Januari lalu. - Foto AFP
Orang ramai yang memakai pelitup muka berjalan di sebatang jalan di bandar raya Wuhan pada 19 Januari lalu. - Foto AFP
A
A
A

PADA lewat bulan Disember 2019, pihak berkuasa kesihatan di Wuhan, China mengesan sejumlah kes penyakit paru-paru dalam kalangan penduduk dengan kebanyakan daripada mereka mempunyai sejarah berkunjung ke Pasar Makanan Laut Huanan di ibu negeri wilayah Hubei itu.

Penyakit paru-paru itu kemudian dikenali sebagai Covid-19 dan Wuhan merupakan bandar raya pertama di dunia yang melaporkan tentang kewujudan pandemik tersebut dan pada 19 Februari 2020, sebanyak 44,412 kes jangkitan pandemik itu dilaporkan di Wuhan dan 74,280 kes jangkitan itu berlaku di China.

Pada tarikh itu, angka kematian yang dicatatkan di Wuhan ialah 1,497 orang manakala di China ialah 2,009 orang sebelum ia mencatatkan lebih 50,000 kes keseluruhan dan lebih 46,000 kes sembuh serta hampir 4,000 kematian akibat Covid-19 sehingga Khamis lalu.

Pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah memutuskan bahawa virus Covid-19 mungkin berjangkit dari haiwan kepada seorang manusia sebelum tersebar di Wuhan dan berlakunya wabak di pasar Huanan di bandar raya tersebut serta menjadi pandemik di hampir kebanyakan negara di dunia.

Sebelum ini, para penyelidik pandemik itu termasuk dari Akademi Perubatan Sains Shandong di China berkata, analisis mereka mendapati kelawar mungkin menjadi perumah asal virus Covid-19.

Menurut para penyelidik itu, haiwan-haiwan hidupan liar di Pasar Makanan Laut Huanan kemungkinan menjadi haiwan perantara yang menyebabkan virus Covid-19 itu tersebar kepada manusia.

Namun persoalannya, bagaimana ketika banyak negara lain masih bergelut dengan peningkatan kes Covid-19, malah sudah bersilih kali melakukan lockdown, Wuhan bukan sahaja pulih daripada penularan pandemik Covid-19, bahkan cuma mencatatkan satu kes sejak dua minggu lalu (dari 6 hingga 19 Mei 2021).

Mengimbau kembali kronologi Covid-19 di Wuhan, berikutan kes positif yang semakin meningkat pada tahun 2020, pihak berkuasa negeri itu melaksanakan 'lockdown' bermula pada 23 Januari 2020 sebelum berakhir pada 8 April 2020 iaitu selama lebih dua bulan.

Artikel Berkaitan:

Ia merupakan 'lockdown' yang pertama dilaksanakan di dunia berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pergerakan penduduk keluar ke bandar raya-bandar raya lain disekat manakala pengangkutan awam seperti bas dan tren bawah tanah dilarang beroperasi manakala penerbangan, perkhidmatan kereta api serta bas jarak jauh tidak dibenarkan semasa pelaksanaan 'lockdown' itu.

Sambutan Tahun Baharu Cina dan keraian melibatkan perhimpunan orang ramai dibatalkan manakala mengembara ke luar negara untuk tujuan melancong serta penjualan tiket penerbangan termasuk tempahan hotel dilarang dilakukan semasa perintah 'lockdown' itu dikuatkuasakan.

Lebih banyak hospital didirikan oleh pemerintah China untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19 manakala ribuan penduduk dikuarantin di hospital-hospital baharu dan ribuan kakitangan perubatan di seluruh negara datang ke Wuhan serta di beberapa bandar raya lain di wilayah Hubei untuk menghulurkan bantuan.

Menurut artikel dalam Global Health Research and Policy, banyak garis panduan bagi menghalang penularan Covid-19 turut dikeluarkan antaranya ialah kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka dan memakai gogal merupakan cara efektif untuk mengelak daripada terkena jangkitan Covid-19.

Penduduk juga tidak dibenarkan untuk keluar menemui komuniti lain dan mereka mematuhi larangan tersebut manakala menurut portal berita RT, kebanyakan perniagaan tempatan dan kilang turut ditutup bagi menghalang penularan Covid-19.

Gambar fail bertarikh 27 Januari 2020 menunjukkan Wuhan lengang selepas perintah 'lockdown' dilaksanakan di bandar raya itu. - Foto AFP
Gambar fail bertarikh 27 Januari 2020 menunjukkan Wuhan lengang selepas perintah 'lockdown' dilaksanakan di bandar raya itu. - Foto AFP

Perintah 'lockdowan' itu ditarik balik pada 8 April manakala tiada kes baharu Covid dilaporkan dalam tempoh beberapa bulan sehinggalah buat pertama kalinya pada 18 Mac 2020.

Selepas 'lockdown' ditarik balik, langkah-langkah pencegahan penularan pandemik itu dibuat di stesen-stesen pengangkutan awam apabila kakitangan-kakitangannya memakai pakaian pelindung diri yang kebanyakannya berwarna putih.

Sebahagian penumpang dilihat memakai dua pelitup muka, sarung tangan dan pakaian pelindung diri selain diwajibkan menunjukkan kod hijau pada aplikasi di telefon bimbit bagi membuktikan mereka benar-benar sihat.

Semua itu berlaku sebelum China meluluskan vaksin pertamanya, Sinopharm untuk kegunaan penduduk negara itu pada 30 Disember 2020 dan menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, sehingga 1 Mei lepas, lebih 265 juta daripada 1.4 bilion penduduknya (hampir 20 peratus) sudah menerima suntikan vaksin keluaran syarikat ubat-ubatan negaranya.

Menurut agensi berita Xinhua, berdasarkan laporan biro statistik Wuhan, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, Keluaran Produk Domestik bandar raya itu kini sudah mencapai kira-kira AS$55 bilion (RM228.03 bilion).

Ekonomi bandar raya itu telah berkembang sebanyak 58.4 peratus pada suku pertama tahun ini iaitu setahun selepas ekonominya terjejas disebabkan oleh Covid-19.

China telah berjaya mengawal pandemik itu menerusi 'lockdown' dan kawalan sempadan sejak pertengahan tahun lalu dengan hanya 17 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan pengembara yang menjalani kuarantin pada 1 Mei lalu.

Malah, ketika Wuhan dilanda kes menggila Covid-19 dan menjadi negara paling tinggi kes pembunuh itu pada Mac tahun 2020, selepas setahun semuanya sudah berubah sama sekali.

Peliknya, walaupun mempunyai 1.4 bilion penduduk, pada 18 Mei lalu China cuma mencatatkan 14 kes harian. Dan lebih mengejutkan ketika negara seperti kini sedang menuju ke angka 500,000 kes positif Covid-19, China cuma mencatatkan 90,000 kes. - Agensi