Mampukah HIDE kekang Covid-19?

A
A
A

SEPANJANG lebaran dan pascalebaran, media sosial jadi medan rakyat Malaysia melepaskan geram.

Mereka meluahkan perasaan terhiris kerana tidak boleh pulang beraya di kampung.

Ia rentetan tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Untuk tahun kedua berturut-turut, penulis tidak dapat menziarahi pusara emak dan ayah di Kampung Parit Yusuf, Muar, Johor.

Begitupun, apabila meneliti pandemik Covid-19, kita harus bijak menanggapi situasi terkini di Malaysia.

Angka empat digit tidak berganjak sejak minggu lalu dan diramalkan Covid-19 kemungkinan mencecah 10,000 kes sehari sekiranya tiada tindakan drastik seperti PKP 3.0 dilaksanakan.

Antara yang menarik perhatian penulis adalah pelaksanaan HIDE (Hotspot Identification for Dynamic Engagement) atau Pengenalpastian Titik Panas untuk Penglibatan Dinamik.

HIDE sebenarnya sebahagian teras Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Artikel Berkaitan:

Ia mengandungi aplikasi analisis data raya (big data) dikendalikan bersama sistem kecerdasan buatan (AI) untuk meramal premis MySejahtera berisiko tinggi sebagai titik panas Covid-19 selama tujuh hari pusingan siang dan malam berturut-turut.

Sistem itu berasaskan pendaftaran masuk MySejahtera dan pangkalan data penjagaan kesihatan lain yang mampu meramal kemungkinan jangkitan virus berpotensi paling tinggi.

Setiap hari, sistem HIDE akan menganalisis senarai premis berisiko bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pengaturan pergerakan setiap individu di kawasan berhampiran dan aktiviti perniagaan seharian.

KKM mendapati penghasilan analisis HIDE menyekat penularan kerana tindakan awal dilakukan secara bersasar, fokus dan waspada.

Namun, ada juga sahabat bertanyakan penulis, bagaimana HIDE mengenal pasti premis tertentu? Penulis membalas pertanyaan sahabat itu dengan jawapan mudah difahami.

Sebenarnya, ALLAH SWT telah mengilhamkan HIDE dalam Surah An-Nisaa' [4:28-29] bemaksud: “ALLAH hendak memberikan keringanan kepadamu dan manusia dijadikan bersifat lemah. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka antara kamu.

“Dan janganlah kamu membunuh dirimu (sesama sendiri). Sesungguhnya ALLAH Maha Penyayang kepadamu. Dan barang siapa berbuat demikian dengan melanggar hak dan aniaya, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka. Yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH. Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).”

Penulis ingin mencadangkan kerajaan memfokuskan kepada cara bekerja berteraskan AI sesuai dengan agenda IR 4.0.

Kerajaan juga harus memantau sistem pengurusan dan perniagaan dalam talian.

Trend pasaran pekerjaan juga mesti diperhatikan berorientasikan modul ala pekerjaan kontrak dan kerja mandiri.

Pelaksanaan 'ekonomi gig’ yang fokus kepada pekerjaan sementara dan konsep freelancers boleh dijadikan agenda terkini.

Kini, pekerjaan ‘gig’ seperti penghantaran barang atau makanan mendominasi pasaran pekerjaan.

Begitupun, pekerja ‘gig’ sebenarnya paling teruk terkesan. Pakar Institut Personel dan Pembangunan Berkanun (CIPD), Gerwyn Daviels percaya 'ekonomi gig’ akan mendominasi dunia untuk jangka masa panjang.

Penulis percaya Malaysia boleh mengatasi ‘tsunami ekonomi’ yang tidak stabil.

Kesimpulannya, rakyat harus mempercayai tindakan kerajaan. Pelaksanaan HIDE ada manfaatnya.

PKP 3.0 bukannya bertujuan menghalang rakyat pulang ke kampung untuk berhari raya.

Penulis kagum dengan sebuah iklan terpapar di Kanada yang memetik perintah Rasulullah SAW dalam memerangi Covid-19.

Kata Rasulullah SAW, kekallah di rumah sekiranya tidak mahu dijangkiti penyakit Covid-19.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor