‘Senjata diacu betul-betul atas kepala’

Tragedi Mavi Marmara menjadi bukti kukuh betapa dunia masih gagal menyelesaikan isu kemanusiaan di bumi Palestin sejak 1948.
Tragedi Mavi Marmara menjadi bukti kukuh betapa dunia masih gagal menyelesaikan isu kemanusiaan di bumi Palestin sejak 1948.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa hari saja lagi, genaplah 11 tahun tragedi kapal Mavi Marmara yang diserang dan diceroboh tentera Zionis Israel di kawasan perairan antarabangsa di Laut Mediterranean.

Dalam insiden serangan bersejarah pada 31 Mei 2010 itu, tentera rejim Zionis tanpa sebarang notis telah menceroboh dan menyerang Mavi Marmara, sebuah kapal Turki konvoi Flotila Pembebasan yang membawa misi bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza sehingga mengakibatkan 16 orang terbunuh termasuk sembilan aktivis Turki manakala 30 orang lagi turut tercedera.

Pada waktu itu, tentera Israel bertindak mengepung konvoi Flotila Pembebasan berkenaan di setiap sudut dengan menggunakan 19 bot, lapan kapal laut dan tiga helikopter perang Apache ketika kapal Mavi Marmara berada kira-kira 68 batu Nautika di luar perairan Israel pada pukul 4.30 pagi.

Kendatipun tragedi berdarah itu telah lebih satu dasawarsa berlaku, peritnya masih terbayang di depan mata Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail yang turut menyertai misi kemanusiaan tersebut bersama jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip serta 10 lagi sukarelawan Malaysia.

Ashwad
Ashwad

Ashwad yang ketika itu bertugas sebagai wartawan penyiaran Awani berkata, insiden Mavi Marmara hanyalah disifatkan sebagai satu lipatan sejarah kecil serta menjadi refleksi betapa dunia masih gagal menyelesaikan isu kemanusiaan Palestin sejak 1948.

Dilayan macam banduan

“Ibarat lanun yang bertindak sesuka hati, kami dilayan tak ubah seperti banduan oleh tentera Zionis sepanjang dipenjarakan lebih 36 jam di Beersheba apabila tangan digari, tidak kurang juga ada antara kami yang ditumbuk selain dua sukarelawan warga Turki yang berada di tepi kami turut terkena tembakan di tangan dan bahu.

Artikel Berkaitan:

“Malah, ada juga saudara kita dari Indonesia yang koma selama tiga bulan gara-gara tragedi berkenaan. Tindakan ini jelas tidak berperikemanusiaan kerana kapal Mavi Marmara pada waktu itu masih berada di perairan antarabangsa, selain ia turut melibatkan misi bantuan dari seluruh dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain Ashwad dan Samsul Kamal, 10 lagi rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara semasa itu ialah Ketua Misi Life Line For Gaza, Noorazman Mohd Samsuddin; Jamuliddin Alias (Yayasan Amal); Dr. Selamat Aliman (Jemaah Islah Malaysia); Abdul Halim Mohamed Redzuan (Muslim Care); Mustafa Mansor (Majlis Perundingan Islam Malaysia) dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Kepulangan 12 wira negara turut disambut Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Arkib Bernama
Kepulangan 12 wira negara turut disambut Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Arkib Bernama

Turut sama, empat anggota Haluan Palestin iaitu Dr. Arbain Syawal, Ir. Mohd. Nizam Mohd. Awang, Alhami Hussain Suhaimi dan Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan.

Konvoi Flotila anjuran Gerakan Bebaskan Gaza dan Yayasan Hak Asasi, Pembebasan dan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH) itu membawa bantuan kemanusiaan dan bahan binaan bagi memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

Mengulas lanjut, Ashwad turut mendesak seantero dunia termasuk media memikirkan langkah alternatif serta penyelesaian efektif konflik kemanusiaan melibatkan Palestin.

“Ini bukan perkara baharu, sudah lebih enam dekad ia berlaku, jadi tidak timbul soal mahu memaafkan Israel ataupun tidak. Semua pihak memerlukan stamina yang panjang bukan saja fizikal dan mental, selain kekuatan kewangan.

“Walaupun ada beri bantuan dan sokongan moral, namun blok penyatuan antara Fatah dan Hamas juga perlu diperkukuhkan di bumi Palestin sendiri selain membentuk satu kekuatan sesama seluruh rantau Arab.

“Jika tidak, sampai bila-bila pun perang takkan tamat,” tegas Ashwad.

Ketika mengimbau semula kejadian itu, seorang lagi sukarelawan Malaysia yang berada atas kapal Mavi Marmara, Dr Syed Muhammad Haleem pula memberitahu, siapa yang tidak kecut perut apabila senjata api diacukan betul-betul di atas kepalanya semasa itu.

Selain misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Dr Syed Muhammad Haleem turut aktif menguar-uarkan kekejaman rejim Zionis Israel di media sosial termasuk saluran YouTube Haluan Palestin.
Selain misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Dr Syed Muhammad Haleem turut aktif menguar-uarkan kekejaman rejim Zionis Israel di media sosial termasuk saluran YouTube Haluan Palestin.

Beri rawatan

“Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata. Saya tidak sangka tiba-tiba telah diacukan senapang laser di kepala, manakala bom tangan juga berada di mana-mana di atas kapal.

“Bayangkanlah betapa brutalnya tentera Zionis apabila langsung tidak mempedulikan maruah dan keselamatan kami sedangkan misi bantuan itu turut disertai sukarelawan dari Amerika Syarikat, Britain, Belgium, Algeria, Greece dan juga kaum Yahudi sendiri,” ujarnya.

Pada masa sama, Dr Syed Muhammad Haleem juga masih belum dapat melupakan betapa luhurnya hati nurani seorang pakar perubatan dari Mesir, Mohamed Beltagy yang nekad memberikan rawatan kecemasan terhadap seorang tentera Zionis yang turut tercedera akibat pertempuran ketika itu.

“Kerana bimbang dicederakan, saya telah mengeluarkan mafla untuk mengikat tangan tentera terbabit tetapi cepat-cepat dihalang Mohamed Beltagy. Dia memujuk saya supaya jangan takut, jadi kami tetap merawat tentera Israel itu di sebalik kelam-kabut yang berlaku di atas kapal,” ceritanya yang juga Ketua Biro Haluan Palestin, Haluan Malaysia.