Covid-19: Kes positif baharu di Sabah terus meningkat

Kes positif Covid-19 di Sabah terus merekodkan peningkatan pada Khamis dengan 245 kes baharu iaitu pertambahan 85 kes dalam tempoh 24 jam berbanding 160 kes baharu pada Rabu dengan satu kes kematian. - Gambar hiasan
Kes positif Covid-19 di Sabah terus merekodkan peningkatan pada Khamis dengan 245 kes baharu iaitu pertambahan 85 kes dalam tempoh 24 jam berbanding 160 kes baharu pada Rabu dengan satu kes kematian. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kes positif Covid-19 di Sabah terus merekodkan peningkatan pada Khamis dengan 245 kes baharu iaitu pertambahan 85 kes dalam tempoh 24 jam berbanding 160 kes baharu pada Rabu dengan satu kes kematian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, ia berpunca daripada 62 kes positif baharu daripada kluster sedia ada, Kluster D' Kuala melibatkan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Kuala Papar selepas ujian saringan kedua dijalankan.

Menurutnya, selain kluster D'Kuala, empat kluster baharu turut dikesan sekali gus menyumbang kepada peningkatan berkenaan iaitu melibatkan kluster Jalan Kretam Silimpopon Kalabakan (37 kes), kluster Lorong Karamunsing Kota Kinabalu (28 kes), kluster Jalan Pengalat Lok Kawi di Papar (16 kes) dan kluster Jalan Tun Fuad (11 kes).

"Daripada 245 kes positif Covid-19, sebanyak 60 kes berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala (25 kes), kluster baharu 151 kes dan sedia ada serta sembilan kes dari lain-lain kategori," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Sabah setakat ini adalah 59,909 kes dengan 453 kes kematian.

Masidi berkata, kerajaan negeri juga bersetuju melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Ugama Pantai Manis, Papar bermula 21 Mei sehingga 3 Jun selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan masih berlaku penularan serta terdapat 202 lagi sampel ujian menunggu keputusan.

"Sehingga kini, KKM telah melakukan 495 ujian saringan, 61 daripadanya disahkan positif Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, tiga daerah turut dikenakan PKPD bermula 22 Mei hingga 4 Jun depan bagi memudahkan KKM menghalang pergerakan penduduk sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19 ke luar kawasan lain.

Tiga daerah terlibat ialah Kampung Idani, Semporna; Kampung Pisang, Tawau dan Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Jaya, Kunak. - Bernama