Mayat ditemukan terapung dipercayai nelayan hilang

Mayat ditemukan terapung pada jam 1 tengah hari Khamis dibawa ke jeti Maritim Kuala Terengganu sebelum dihantar ke HSNZ untuk tindakan lanjut.
Mayat ditemukan terapung pada jam 1 tengah hari Khamis dibawa ke jeti Maritim Kuala Terengganu sebelum dihantar ke HSNZ untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mayat ditemukan terapung pada jarak 17 batu nautika dari Pulau Kapas pada Khamis dipercayai salah seorang nelayan yang dilaporkan hilang sejak Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mayat mangsa ditemukan nelayan tempatan ketika operasi mencari dan menyelamat kira-kira jam 1 tengah hari Khamis.

Beliau berkata, mayat mangsa, Baharudin Abdullah, 47, dibawa ke jeti Maritim di sini dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

"Mayat mangsa telah dibawa oleh bot maritim Pengawal 16 untuk dihantar ke HSNZ, manakala pihak polis menjalankan proses pengecaman oleh ahli keluarga," katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Maritim Malaysia meneruskan operasi mencari dan menyelamat dengan menggerakkan anggota termasuk masing-masing satu kapal peronda, bot peronda dan pesawat di dua lokasi nelayan dilaporkan hilang.

"Pencarian hari ini (Khamis) merangkumi kepada 211.54 batu radius dari kawasan mangsa dipercayai hilang.

"Operasi pencarian turut melibatkan Jabatan Perikanan dan juga dibantu persatuan nelayan tempatan dalam pencarian mangsa," katanya.

Sebelum ini, tiga nelayan dikhuatiri hilang dalam dua kejadian berasingan yang berlaku di perairan Kuala Terengganu pada Rabu dan Khamis.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga nelayan dikhuatiri hilang dalam dua kejadian berasingan