Kelab kena peka isu gaji pemain

Izham Ismail
Izham Ismail
A
A
A

BANTUAN dana daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah AS$456,214.48 (kira-kira RM1.88 juta) kepada pemain tempatan kurang bernasib baik perlu dilihat secara serius bagi mengatasi masalah pengurusan pasukan dan kelab di negara ini.

Walaupun ia perkembangan menggembirakan, namun Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail menyifatkan perkara itu menandakan masih terdapat tugas besar perlu dilaksanakan pasukan dalam meningkatkan kualiti pengurusan.

Beliau berkata ia juga menjadi isyarat kepada setiap pihak supaya lebih peka terhadap isu hak dan kebajikan pemain khususnya bayaran gaji, selain usaha lebih giat perlu dibuat dari sudut pemerkasaan tadbir urus pasukan, sistem pelesenan dan penguatkuasaan undang-undang.

"Ia bagi memastikan ekosistem bola sepak Malaysia berada dalam keadaan stabil sekali gus memastikan kelestarian yang berpanjangan buat mereka terlibat secara aktif dalam arena bola sepak negara.

"...dan tanggungjawab ini harus didukung semua pemegang taruh bola sepak negara secara kolektif, bukan disandarkan kepada pihak tertentu sahaja," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sabtu lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan seramai 147 pemain tempatan daripada lima pasukan di negara ini yang ‘gulung tikar’ akan menerima bantuan antara AS$1,227.67 (kira-kira RM5,000) hingga US$9,227.67 (kira-kira RM38,000) selepas permohonan mereka diluluskan FIFA.

Lima pasukan tersebut adalah Terengganu City FC, Perlis, Marcerra United FC, Kuantan FA serta Hanelang FC dan kesemua pasukan itu kini sudah ditutup.

Sementara itu, Izham berkata sebanyak 139 daripada keseluruhan 147 permohonan itu dibuat menerusi PFAM dan mengakui dana tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban sedia ada pemain meskipun bantuan diterima bukanlah merupakan jumlah penuh.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata usaha untuk menuntut baki bayaran akan terus dibuat dengan PFAM sentiasa berusaha menggunakan segala saluran undang-undang yang ada bagi tujuan tersebut.

"Bagi pihak yang menjadi punca kepada permasalahan ini, PFAM benar-benar menyeru dan menggesa untuk tampil bersemuka dengan pemain dan seterusnya benar-benar mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini," kata Izham.

Bantuan dana daripada FIFA itu adalah menerusi program 'FIFA Fund for Football Players' (FIFA FFP) yang diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama dengan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro). - Bernama