Guna nama tanpa kebenaran, Search ambil tindakan undang-undang

Kenyataan media oleh Nasir, Amy dan wakil arwah Yazit pada Khamis.
Kenyataan media oleh Nasir, Amy dan wakil arwah Yazit pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan rock legenda tanah air, Search akan mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang individu bernama Mozylir Mokhtaruddin kerana didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran.

Ahli kumpulan Search, Nasir; bekas vokalis, Amy dan wakil bekas pemain dramnya, Allahyarham Yazit mengambil tindakan berkenaan selepas menerima nasihat guaman berhubung isu tersebut.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, mereka mendakwa, Mozylir yang berniaga atas nama ‘Home of Champions’ telah menggunakan nama Fenomena Search atau imej berkaitan Search bagi menjual pakaian dan aksesori lain termasuk kasut Aliph X Search Edisi 2021.

“Nasir, Amy dan waris-waris arwah Yazit telah mengambil nasihat guaman serta mengeluarkan tuntutan terhadap Mozylir dan Home of Champions untuk menghentikan kegiatan berkenaan.

“Antara kegiatan yang dilakukan oleh Mozylir adalah menggunakan nama ‘fenomena search’ di beberapa laman web, kedai atas talian seperti Shopee, emel dan menggunakan sosial media seperti Facebook serta Instagram bagi tujuan melakukan jualan,” menurut kenyataan itu.

Kali terakhir Search mengeluarkan album adalah pada tahun 2017 melalui album yang berjudul Katharsis. Album tersebut dikeluarkan oleh Amy, Nasir, Nordin dan Kid manakala arwah Yazit tidak dapat bermain dalam album tersebut disebabkan faktor keuzuran.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyatakan kesemua ahli Search telah bersetuju untuk memastikan hak arwah Yazit kepada nama Search dan hasil kerja beliau untuk Search dari tahun 1981 akan diberikan kepada warisnya.

Dalam pada itu, kenyataan berkenaan turut memaklumkan satu sesi siaran langsung akan diadakan bagi memberi penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut menerusi platform Instagram @akuamysearch Jumaat ini pada jam 8 malam.

Artikel Berkaitan: