'Sokongan PBS tidak berbelah bahagi kepada GRS'

Maximus Ongkili
Maximus Ongkili
A
A
A

KOTA KINABALU - Sokongan Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak berbelah bahagi.

Sebagai tunggak utama kerajaan Sabah, tidak ada sebab untuk PBS menggugat keutuhan dan perpaduan dalam GRS.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memberi jaminan kepada Hajiji bahawa sokongan PBS tidak berbelah bahagi.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat sempena Hari Raya pada Rabu yang turut disertai tiga Timbalan Presiden, Datuk Seri Radin Malleh; Datuk Jahid Jahim dan Datuk Dr Yee Moh Chai serta Naib Presiden, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Setiausaha Agung, Datuk Joniston Bangkuai.

"Sepanjang kunjungan hormat itu, perbincangan kami menyentuh banyak isu mengenai GRS, hal kerajaan negeri dan pentadbiran khususnya Covid-19 dan ekonomi.

"Kami turut meyakinkan Hajiji bahawa PBS sentiasa memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri, manakala jentera parti sedang giat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaan pembangunan dan strategi Sabah Maju Jaya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menjelaskan bahawa kenyataannya baru-baru ini telah disalah tafsir oleh beberapa pihak, malah ada yang sengaja putar belit fakta untuk menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Tujuan saya yang sebenarnya adalah untuk menyatakan keterbukaan parti kepada pembangkang terutama Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan persekutuan untuk mencapai pembangunan bagi kebaikan Sabah dan rakyat Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kenyataan saya itu tidak lebih dari sekadar menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama. Lagipun, Warisan terlebih dahulu menyatakan hasra menjalin persahabatan dan kerjasama, dan presiden mereka (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) telah menyatakan hasrat beliau pada bulan Ramadan, iaitu bulan untuk merapatkan hubungan persahabatan, jadi wajarlah bagi PBS untuk memberikan isyarat yang serupa demi mengukuhkan hubungan politik," katanya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu turut menyatakan hanya melalui kerjasama, persahabatan politik dan sokongan, negara ini dapat dibangunkan sepenuhnya.

"Tapi ini tidak bermaksud kita harus membentuk satu gabungan atau pakatan. Hasrat PBS adalah untuk mengeratkan silaturahim dan kerjasama dengan Warisan di peringkat Perikatan Nasional (PN).

"Sebagai Presiden PBS, saya menghulurkan jemputan kepada Parti Warisan untuk mempertimbangkan kerjasama politik dengan PN, sama ada sebagai ahli atau rakan kongsi dan kami (PBS) amat berbesar hati menjadi penaja kepada Warisan untuk menjadi sebahagian daripada gabungan PN. Marilah bekerjasama dengan kami di bawah PN.

"Sememangnya, untuk membentuk pakatan baharu atau idea gabungan adalah satu perkara yang sukar bagi PBS dan Warisan kerana kami mempunyai identiti dan peranan politik yang berbeza. Sejak penubuhan parti 36 tahun lalu, PBS kini sudah sinonim dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), keselamatan rakyat dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Kita mampu bekerjasama demi memperjuangkan matlamat mulia inidi samping memperkukuh objektif PN. Saya yakin Warisan juga boleh memainkan peranan dan menyumbang kepada pencapaian aspirasi nasional ini," katanya.