X

Kindly register in order to view this article
!

MOTAC siasat pelancong di Genting Highlands positif Covid-19

Nancy Shukri
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjalankan siasatan awal untuk mengenal pasti situasi sebenar berhubung laporan pelancong positif Covid-19 selepas pulang dari bandar peranginan Genting Highlands.

Unit Komunikasi Korporat MOTAC berkata, berdasarkan hasil siasatan mendapati syarikat pelancongan yang berdaftar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik bagi urusan perjalanan yang dianjurkan.

"Hasil maklumat yang diperolehi mendapati syarikat pelancongan ini telah menganjurkan rombongan ke Genting Highlands melibatkan pelancong dari Alor Setar, Kedah.

"Sebanyak dua buah bas telah digunakan pada 22 hingga 24 April lalu untuk pergi dan pulang ke lokasi mengikut SOP Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik.

"Selepas kembali dari Genting Highlands, terdapat penumpang yang mengalami gejala demam dan telah membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kenyataan itu menjelaskan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Mei lalu telah mengesan seramai 16 individu disahkan positif Covid-19 menerusi saringan ke atas 28 orang dalam kalangan kumpulan pelancong tersebut.

Beliau berkata, pengesanan kontak rapat masih diteruskan oleh Jabatan Kesihatan Alor Setar.

"KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah menghubungi syarikat terbabit untuk siasatan lanjut. Pihak syarikat telah memberi kerjasama dengan menyerahkan semua dokumen-dokumen perjalanan, permit, Lesen Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) dari MOTAC serta lain-lain dokumen yang diperlukan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sumber asal kontak Covid-19 yang berkaitan dengan kes itu masih belum dapat dikenal pasti dan pihak KKM sedang menjalankan proses siasatan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri turut mengingatkan semua agensi pengendali pelancong dan kenderaan pelancongan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan semasa mengendalikan aktiviti pelancongan.

Nancy berkata, ini bagi memastikan aktiviti pelancongan yang dilaksanakan mendapat perlindungan maksimum agar keselamatan pelancong dan pengusaha industri pelancongan itu dipelihara.

"Orang ramai juga diingatkan supaya menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan dan syarikat kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC sahaja bagi memastikan perkhidmatan diperolehi adalah terbaik dan selamat.

"Pada masa ini Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik syarikat berkenaan digantung buat sementara bermula 4 Mei 2021 sehingga dimaklumkan kelak.

"MOTAC berharap agar penjelasan ini dapat mengelakkan kekeliruan dan spekulasi yang tidak benar berhubung insiden tersebut.

"MOTAC juga berharap insiden ini tidak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan dalam sebarang aktiviti pelancongan apabila beroperasi kelak selepas kebenaran diberikan kerajaan berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 dalam negara," ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: JKN Kedah kesan kontak rapat pelancong dari Genting Highlands


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!