Peningkatan kes Covid-19 beri kesan pesakit kronik lain

Dr Mohd Hayati
Dr Mohd Hayati
A
A
A

ALOR SETAR - Pegawai perubatan di hospital Kedah terpaksa membuat penilaian yang berat untuk mengimbangi rawatan kepada pesakit kronik selepas berlaku peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang mengalami komplikasi dan perlu ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jika peningkatan kes Covid-19 berterusan di negeri itu, pihaknya menjangkakan pesakit kronik lain akan mempunyai ruang terhad mendapatkan rawatan di ICU.

Menurut beliau, jumlah katil di ICU setakat ini masih lagi mencukupi, namun pegawai perubatan terpaksa memilih dan memberikan keutamaan kepada pesakit yang lebih memerlukan rawatan.

"Saya serba salah untuk maklum tentang perkara ini tapi saya perlu beritahu juga kerana sesetengah kes itu terpaksa dipilih yang mana perlu dimasukkan ke ICU terlebih dahulu.

"Bagi pesakit penyakit kronik ataupun pesakit Covid-19 ini, kita membuat penilaian berat yang mana perlu dimasukkan ke ICU, namun seboleh-bolehnya mereka akan dirawat sehingga sembuh dan stabil," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, keadaan akan bertambah parah sekiranya rakyat masih alpa, keluar rumah tanpa tujuan termasuk tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Tambahnya, beliau melihat masyarakat masih lagi dalam 'mood' hari raya dan berharap perkara tersebut tidak dijadikan alasan untuk melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan: