Polis Perak umum operasi, kawalan PKPD di empat mukim esok

Polis Perak akan mengumumkan lebih terperinci status pengoperasian, kawalan dan penguatkuasaan di empat Mukim di negeri itu yang dikenakan PKPD bermula 22 Mei hingga 4 Jun. - Gambar hiasan
Polis Perak akan mengumumkan lebih terperinci status pengoperasian, kawalan dan penguatkuasaan di empat Mukim di negeri itu yang dikenakan PKPD bermula 22 Mei hingga 4 Jun. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Polis Perak akan mengumumkan lebih terperinci berhubung status pengoperasian, kawalan dan penguatkuasaan di empat Mukim di negeri itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 22 Mei hingga 4 Jun.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, satu kenyataan berkaitan perkara berkenaan akan dikeluarkan setelah mendapat prosedur operasi standard (SOP) secara rasmi dari Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya akan buat kenyataan media esok setelah SOP pihak MKN dikeluarkan secara rasmi," katanya ringkas ketika dihubungi media menerusi aplikasi Whatsapp di sini pada Khamis.

Beliau memberi maklum balas terhadap soalan wartawan berhubung cara pelaksanaan PKPD di kawasan mukim memandangkan ini pertama kali ia dikuatkuasakan di kawasan yang luas di Perak serta sama ada kawat duri akan dipasang di setiap taman perumahan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis mengumumkan PKPD dilaksanakan di beberapa mukim dan lokaliti di enam negeri melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak mulai 22 Mei hingga 4 Jun depan.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, pelaksanaan PKPD ini susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan berkenaan.

Empat mukim yang terlibat di Perak ialah Mukim Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak, Mukim Taiping di daerah Larut, Matang dan Selama, Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan di daerah Kinta serta Mukim Hulu Bernam Timur di daerah Muallim.

Sebanyak 248 kes baharu dilaporkan di Perak pada Khamis berbanding 220 kes pada Rabu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa kawasan di enam negeri dikenakan PKPD