Pembelian dalam talian kalangan lelaki di Shopee meningkat

A
A

MEMBELI-BELAH dalam talian kini tidak lagi asing bagi lelaki kerana lebih ramai kaum itu membeli produk mereka menerusi Shopee.

Platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan itu berkata, terdapat trend peningkatan dalam aktiviti pembeli dalam aplikasinya.

“Pembelian komputer riba kepada aksesori seperti fon telinga kalis air, kamera papan pemuka kereta, alat permainan, pengecas mudah alih dan kad memori mikro SD adalah menjadi tumpuan pembeli lelaki bagi kategori mobile dan aksesori kekal sebagai kategori paling banyak dikunjungi oleh pembeli lelaki.

“Telefon pintar seperti Realme 2 Pro, Honor 9 Lite dan Honor 8x habis dijual dalam masa beberapa minit selepas pelancaran eksklusif pada 2018,” kata Shopee dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, peningkatan sebanyak 10 peratus antara jam 8 malam dan 9 malam untuk pembelian peranti dan peralatan mudah alih menunjukkan pengguna lelaki mahu membeli gajet dan aksesori mereka selepas waktu kerja.

Selain itu, kaum lelaki juga dilihat semakin menitikberatkan soal penampilan dan lazimnya lebih suka gaya minimalis dengan memakai t-shirt biasa dan blazer kasual.

“Antara produk yang paling kerap dibeli oleh kaum lelaki ialah jam tangan wanita dan ramai sanggup berbelanja lebih RM400 untuk membeli jam tangan,” katanya.

Shopee meramalkan peningkatan pesanan bagi pomade, serbuk pemutih gigi, cologne dan juga pupur muka, menjadikan kategori Kesihatan dan Kecantikan kedua paling dikunjungi oleh pembeli lelaki.

“Kaum lelaki juga didapati mula memanfaatkan teknologi untuk melakukan kerja rumah memandangkan perbelanjaan besar yang dibuat ke atas barangan mahal seperti pembersih vakum robot yang menelan belanja lebih RM1,050.

“Tidak terkecuali juga dengan barangan DIY yang menarik permintaan lelaki antaranya alat ganti motosikal dan aksesori dan alat ganti kereta,” katanya.

Melihat kepada permintaan yang tinggi kepada pembeli lelaki, syarikat berkenaan akan mengadakan kempen Shopee for Men selama lima hari bermula esok.

Pembeli berpeluang merebut tawaran koleksi Shopee for Men dengan jaminan harga paling rendah atau terima pulangan wang 200 peratus, baucar wang kembali 200 peratus setiap hari, pelan pembayaran ansuran 0 peratus dan tawaran hebat RM25 dengan penghantaran percuma.

Shopee juga akan melancarkan permainan dalam aplikasi baharu, Slicing Samurai yang menguji kebolehan pengguna menghiris produk maya untuk memenangi hadiah menarik, syiling dan baucar Shopee.