SPRM tahan guru besar salah guna kedudukan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
A
A
A

KLANG - Seorang guru besar sebuah sekolah kebangsaan berusia 50-an telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor kerana disyaki menggunakan kedudukannya untuk kepentingan sendiri.

Menurut sumber, lelaki tersebut ditahan di pejabat SPRM Cawangan Klang kira-kira jam 4 petang Khamis.

"Penjawat awam tersebut ketika bertugas di sebuah sekolah di Selangor telah menggunakan kedudukannya dengan mempengaruhi pihak pengurusan Badan Kebajikan Guru-Pekerja (BKGP) sekolah terbabit bagi mengeluarkan wang sumbangan zakat dari sebuah bank berjumlah kira-kira RM70,000 untuk bantuan anak-anak asnaf.

"Bagaimanapun, wang sumbangan zakat itu telah digunakan bagi kegunaan diri beliau sendiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Lelaki tersebut yang kini bertugas di sebuah sekolah lain di Selangor akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada jam 9 pagi Jumaat untuk permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kesalahan tersebut disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: