87 peratus warganet setuju PKP penuh dilaksanakan

Undian di Twitter, Facebook dan Instagram yang dianjurkan Sinar Harian pada Khamis.
Undian di Twitter, Facebook dan Instagram yang dianjurkan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Majoriti warganet bersetuju Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’ dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah terbaik untuk mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.

Menerusi undian dalam talian di beberapa platform media sosial Sinar Harian, orang ramai diberi peluang untuk menjawab soalan sama ada lebih bersetuju dengan PKP penuh atau PKP bersasar.

Menerusi Facebook dan Instagram Sinar Harian setakat jam 5 petang Khamis, sebanyak 87 peratus undian bersetuju dengan PKP penuh, manakala 13 peratus lagi bersetuju dengan PKP bersasar.

Hasil undian di Twitter pula, seramai 77 peratus bersetuju dengan pelaksanaan PKP penuh dan 23 peratus lagi bersetuju dengan PKP bersasar.

Salah seorang warganet, @ PudinMdn berkata, pelaksanaan PKP penuh atau ‘total lockdown’ hanya akan berjaya jika dilaksanakan secara berpusat.

“Tiga perkara lagi meliputi ujian calitan secara besar-besaran, vaksinasi dan bantuan penuh bersasar untuk rakyat turut dilaksanakan serentak.

“30 hari dengan cara ini kita mungkin akan berjaya,” ciapnya di ruangan komen Twitter Sinar Harian pada Khamis.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin memaklumkan bahawa kerajaan akan membincangkan cadangan pelaksanaan PKP penuh di seluruh negara pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 di Putrajaya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mesyuarat tersebut dijangka dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta ketua-ketua menteri dan menteri besar.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan bahawa Malaysia terus merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 6,806 kes baharu positif Covid-19 pada Khamis, sekali gus menjadi yang tertinggi sejak pandemik itu berlaku Mac tahun lalu.

Perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia kini berjumlah 492,302 kes.

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan bincang cadangan laksana PKP penuh esok

ARTIKEL BERKAITAN:59 kematian Covid-19 dalam tempoh 24 jam