Covid-19: Dua lagi kluster diisytihar di Sarawak

Gambar hisan - Foto 123RF
Gambar hisan - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Kluster Kenyalang Park di sini dan Kluster Tebakang di Serian, menjadi dua kluster baharu yang diumumkan di Sarawak hari ini, sementara Kluster Jalan Baji di Sarikei, Kluster Nanga Kelangas (Julau) dan Kluster Taman Mesra Bako (Kuching), diisytiharkan tamat setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya hari ini menyatakan, Jabatan Kesihatan Negeri mengisytiharkan Kluster Kenyalang Park setelah 27 individu daripada 65 orang yang disaring di kawasan itu, didapati positif Covid-19.

Kluster Tebakang pula, melibatkan 19 kes positif daripada 78 individu yang disaring di Kampung Tebakang Melayu di Serian, dan aktiviti pengesanan kontak untuk disaring masih giat dijalankan.

Sementara itu, Rumah Panjang (Rh) Wun anak Ering dan Sekolah Kebangsaan Bakerkong di Tanjung Manis, Rh Gandik di Betong, Rh Saba, Rh Rinya dan Rh Buking di Pakan, diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini (Khamis) sehingga 2 Jun ini, manakala PKPD di Kampung Boyan (Kuching) akan bermula esok hingga 3 Jun.

PKPD yang ditamatkan pula melibatkan Rh Austine Kilat dan Rh Banyoi Ladi di Kanowit, Rh Dick di Oya, Rh Luyoh Nanga Langa dan Rh Unjan di Julau, Kuarters Pekerja Palm Head Holding dan Rh Peter anak Suring di Bintulu, Rh Chan anak Minggat dan Rh Rampai di Sarikei, Rh Midan dan Rh Payau di Pakan dan Kampung Bungey di Betong.

Sarawak hari ini (pada Khamis) merekodkan 608 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 40,259 dan dua kematian baharu akibat penyakit itu turut dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah kematian telah meningkat kepada seramai 239 orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: